BERITA TERKINI   Konflik Asia Barat: Kuota BUDI95 diselaras sementara kepada 200 liter sebulan daripada 300 liter bermula 1 April — PM Anwar | Had siling subsidi bersasar petrol RON95 bagi e-hailing, pekerja gig dikekalkan sehingga 800 liter - PM Anwar | Konflik Asia Barat: Sabah, Sarawak akan terus nikmati diesel subsidi pada RM2.15 seliter walaupun harga melambung naik- PM Anwar | Malaysia kekal sebagai pusat tarikan pelaburan yang sangat aktif meskipun dunia berdepan kemelut dan peperangan - PM Anwar | PM Anwar harap rakyat faham pengurangan kuota subsidi BUDI RON95 dibuat teliti dan berhemah | 

PuTERA35: RM2.4 Bilion Diperuntuk Untuk Kontraktor G1-G4 Bumiputera - PM Anwar 

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Sebanyak RM2.4 bilion diperuntukkan khusus untuk kontraktor bumiputera kelas G1 hingga G4 bagi memacu agenda ekonomi bumiputera melalui Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata di bawah pelan yang sama, daripada RM30 bilion jaminan kerajaan di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP), RM10 bilion dikhususkan untuk menyokong usahawan bumiputera. 

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Program Jaguh Serantau SME Bank turut menyediakan pinjaman RM200 juta kepada perusahaan kecil dan sederhana bumiputera bagi menembusi pasaran eksport.

"Program Penskalaan Usahawan Bumiputera Majlis Amanah Rakyat (MARA) pula menyediakan RM100 juta bagi menyokong pertumbuhan syarikat mula niaga dalam sektor strategik bernilai tinggi," kata beliau ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, menurut Anwar, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menyediakan RM10 juta bagi meningkatkan daya saing usahawan bumiputera khususnya kontraktor muda dalam industri pembinaan. 

Beliau berkata sebanyak RM105 juta diperuntukkan untuk VentureTECH Sdn Bhd bagi meningkatkan pemilikan ekuiti bumiputera dalam sektor bernilai tinggi. 

Pada masa masa, beliau memaklumkan VentureTECH melabur ke dalam 31 syarikat teknologi bumiputera dengan sembilan daripadanya menembusi pasaran global.

-- BERNAMA