Pengeluaran MSM Susut 0.73 Peratus, Eksport Naik 7.69 Peratus Pada Sept -- MPOB

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) Malaysia menurun 0.73 peratus bulan ke bulan kepada 1.84 juta tan pada September 2025 daripada 1.86 juta tan pada Ogos 2025, kata Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB). 

Eksport minyak sawit meningkat 7.69 peratus kepada 1.43 juta tan daripada 1.32 juta tan pada bulan sebelumnya, kata MPOB dalam laporan Prestasi Industri Minyak Sawit Malaysia, September 2025.

Pengeluaran isirong sawit susut 2.41 peratus bulan ke bulan kepada 432,409 tan daripada 443,077 tan pada Ogos. 

Pengeluaran minyak isirong sawit mentah menurun 5.49 peratus kepada 197,197 tan daripada 208,655 tan, manakala pengeluaran hampas isirong sawit merosot 4.84 peratus kepada 216,465 tan daripada 227,473 tan.

Inventori MSM menokok 17.60 peratus kepada 1.27 juta tan pada September daripada 1.08 juta tan sebulan sebelumnya, manakala stok minyak sawit yang diproses turun 2.74 peratus kepada 1.09 juta tan daripada 1.12 juta tan.

“Ini menjadikan jumlah inventori minyak sawit lebih tinggi sebanyak 7.20 peratus kepada 2.36 juta tan pada September daripada 2.20 juta tan pada Ogos,” kata MPOB

Eksport isirong minyak sawit meningkat 6.48 peratus kepada 117,520 tan daripada 110,363 tan, manakala eksport hampas isirong sawit melonjak 45.79 peratus bulan ke bulan kepada 256,412 tan daripada 175,874 tan.

Eksport oleokimia meningkat 1.65 peratus bulan ke bulan kepada 234,893 tan daripada 231,079 tan, dan eksport biodiesel menokok 13.38 peratus kepada 34,958 tan daripada 30,833 tan.

“Import MSM pada September adalah sifar berbanding import pada Ogos, manakala import minyak isirong sawit susut 59.78 peratus bulan ke bulan kepada 5,664 tan daripada 14,082 tan pada Jun,” tambah MPOB. 

-- BERNAMA