Bursa Malaysia Tinggi Pada Tengah Hari

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia tinggi semasa mengakhiri sesi dagangan pagi ini, sejajar dengan prestasi pasaran serantau yang kukuh berikutan pelabur tidak bimbang mengenai penutupan kerajaan Amerika Syarikat (AS), kata penganalisis.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.44 mata kepada 1,629.94 daripada 1,627.50 semasa ditutup pada Rabu.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 1.37 mata kepada 1,628.87 dan bergerak antara 1,627.67 dan 1,632.50 sepanjang sesi dagangan pagi.

Pasaran secara menyeluruh positif, dengan 578 kaunter untung berbanding 383 kaunter rugi. Sebanyak 446 kaunter tidak berubah, 1,195 kekal tidak diniagakan dan tujuh yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 2.55 bilion saham bernilai RM1.53 bilion.

Pada peringkat serantau, Indeks Hang Seng Hong Kong naik 0.04 peratus kepada 26,840.95, Nikkei Jepun meningkat 1.48 peratus kepada 48,440.13, Kospi Korea Selatan menambah 2.70 peratus kepada 3,549.21 manakala Indeks Straits Times Singapura merosot 0.19 peratus kepada 4,447.86.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata sentimen pasaran kekal positif berikutan pelabur tidak bimbang mengenai penutupan kerajaan AS dan ketidaktentuan mengenai jumlah penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS.

“Oleh itu, kami kekal yakin bahawa bursa tempatan akan terus meningkat dan kami menjangka indeks diniagakan dalam julat 1,625 hingga 1,635 hari ini,” katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank merosot dua sen kepada RM9.98, Public Bank berkurangan satu sen kepada RM4.33, CIMB Group menurun enam sen kepada RM7.60 dan IHH Healthcare susut 10 sen kepada RM8.09 manakala Tenaga Nasional naik enam sen kepada RM13.26.

Dalam dagangan aktif, Jadi Imaging, Land & General dan Cheeding, masing-masing naik 1.5 sen kepada 4.5 sen, 18 sen dan 81.5 sen serta V.S. Industry meningkat setengah sen kepada 56 sen manakala Tanco merosot satu sen kepada 84 sen.

Kaunter paling untung termasuklah Malayan Cement dan Malaysian Pacific Industries, masing-masing naik 28 sen kepada RM7.06 dan RM31.30, Petronas Gas menambah 26 sen kepada RM18.92, Mi Technovation meningkat 23 sen kepada RM2.92 dan KESM naik 20 sen kepada RM3.88.

Kaunter paling rugi ialah Allianz merosot 22 sen kepada RM18.18, Petronas Dagangan berkurangan 14 sen kepada RM22.86, Fraser and Neave menurun 12 sen kepada RM28.26, KSL dan Southern Acids, masing-masing susut sembilan sen kepada RM2.71 dan RM3.28.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 40.811 mata kepada 12,155.41, Indeks FBM 100 naik 37.58 mata kepada 11,883.48 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 76.03 mata kepada 12,196.58.

Indeks FBM 70 melonjak 139.94 mata kepada 17,104.95 manakala Indeks FBM ACE menambah 10.87 mata kepada 5,279.90.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 1.20 mata kepada 174.72, Indeks Perladangan meningkat 42.18 mata kepada 7,872.66, Indeks Tenaga merosot 0.66 mata kepada 791.37 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 41.80 mata kepada 18,486.53.

-- BERNAMA