BERITA TERKINI   Kelayakan Piala Asia 2027: Laos 0-3 Malaysia | FFC x TMTG : Beberapa sukarelawan Malaysia dikasari termasuk ditendang, ditampar atau dicengkam secara agresif oleh rejim Israel - CEO MyCARE | Perkhidmatan tren LRT antara Stesen Universiti dan Abdullah Hukum alami gangguan bekalan kuasa, kerja baik pulih sedang dijalankan - RapidKL | 

CIDB, Turner & Townsend Tumpu Topik Aliran Pembinaan Pada ICTC 2025

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menjalinkan kerjasama dengan Turner & Townsend untuk tahun kedua berturut-turut dalam usaha memberikan pandangan yang tepat dan kritikal kepada industri menerusi penganjuran Persidangan Transformasi Pembinaan Antarabangsa (ICTC) 2025.

Persidangan itu diadakan bersempena dengan Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) 2025.

Ketua Eksekutif CIDB Zainora Zainal berkata pemain industri digalakkan untuk menghadiri sesi tersebut untuk membantu mereka mengatasi cabaran semasa dan merebut peluang dalam industri pembinaan, di peringkat tempatan dan di seluruh rantau ini.

Antara topik persidangan ialah aliran, peluang dan cabaran dalam pasaran pembinaan Malaysia yang akan dibentangkan oleh Pengarah Negara Turner & Townsend Leo Leow, manakala Pengarah Cities & Places Asia Turner & Townsend U-Kidd Chong akan membentangkan topik aliran, risiko dan peluang pembinaan ASEAN.

Ketua Portfolio Pusat Data bagi Asia Turner & Townsend Carlos Garcia Rodriguez pula akan membentangkan topik aliran, cabaran dan peluang berkaitan ledakan pusat data.

Turner & Townsend ialah syarikat perkhidmatan profesional global dengan lebih 22,000 anggota di lebih 60 negara.

Selain itu, ICTC 2025 juga akan menampilkan 10 penceramah antarabangsa yang membentangkan topik berkaitan inovasi, teknologi dan kemampanan. 

 Edisi tahun ini juga akan memberi tumpuan kepada tiga bidang iaitu pembangunan semula, infrastruktur yang berdaya tahan dan transformasi digital.

“Menerusi tema ini, ICTC menyasarkan untuk memacu pertumbuhan inklusif, memupuk kerjasama ASEAN yang lebih kukuh dan meletakkan Malaysia sebagai peneraju dalam pembinaan yang inovatif dan mampan,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain menawarkan peluang rangkaian, peserta juga berpeluang memperoleh kredit pembangunan profesional yang diiktiraf oleh badan seperti CIDB, Lembaga Jurutera Malaysia (BEM), Lembaga Juruukur Bahan Malaysia (BQSM), Lembaga Arkitek Malaysia (LAM), Lembaga Juruteknologi Malaysia (MBOT), dan Institusi Juruukur Diraja Malaysia (RISM).

ICTC 2025 ialah sebahagian daripada ICW & BuildXpo 2025, bertemakan ‘Membina Masa Depan ASEAN’, yang berlangsung dari 28-30 Okt, 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Ia merupakan anjuran bersama Kementerian Kerja Raya Malaysia dan CIDB sejak 1998, ICW 2025 menandakan edisi ke-27 acara itu, sekali gus mengesahkan statusnya sebagai salah satu platform industri pembinaan terkemuka di rantau ini. 

BuildXpo 2025 diuruskan oleh Qube Integrated Malaysia Sdn Bhd.

-- BERNAMA