IBM Malaysia Harap Dorongan Lebih Kukuh Kepada AI Dalam Belanjawan 2026
Oleh Nur Aiman Najwa Dzamae
KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- IBM Malaysia Sdn Bhd berharap Belanjawan 2026 akan menyediakan insentif yang lebih kukuh dan bersasar terhadap kecerdasan buatan (AI) bagi memesatkan transformasi digital meliputi sektor utama ekonomi.
Pengurus Besar dan Ketua Teknologi IBM Malaysia Dickson Woo berkata peningkatan insentif yang dijangkakan akan menggalakkan penerimagunaan teknologi yang lebih meluas terutama dalam sektor Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (CNII).
“Dengan belanjawan rangsangan yang akan datang, langkah ini akan membantu memesatkan perjalanan AI dan meningkatkan penerimagunaannya ke tahap yang lebih tinggi.
"Ia sudah pasti akan memberi kesan kepada sektor CNII dan banyak perusahaan termasuk bank, peruncitan, kerajaan dan utiliti. Ini adalah komponen penting bagi Malaysia dan pemacu pertumbuhan," katanya kepada Bernama.
Woo berkata selain perusahaan besar, menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) juga penting terutama dalam sektor digital dan teknologi memandangkan ramai yang masih bergelut untuk membiayai pelaburan besar.
"Sebahagian PKS mungkin tidak mampu membuat pelaburan besar untuk membeli aset dan infrastruktur. Akses kepada pengkomputeran awan juga agak terhad. Oleh itu, menerusi belanjawan ini, saya berpendapat ini akan mendorong penerimagunaan strategi digital serta AI dalam kalangan PKS," katanya.
Beliau berkata tumpuan yang lebih besar terhadap PKS dalam belanjawan akan membantu memastikan manfaat pendigitalan dapat dikongsi secara lebih meluas oleh rakyat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan dijadual membentangkan Belanjawan 2026 di Parlimen pada 10 Okt 2025.
Anwar telah menyokong penerimagunaan AI, dengan semua usaha ini adalah sebahagian daripada persediaan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara dipacu AI menjelang 2030.
Sehubungan itu, Malaysia akan menubuhkan awan AI berdaulat bagi menyokong perkhidmatan kerajaan dan pembangunan digital negara.
-- BERNAMA