BERITA TERKINI   Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2035, hala tuju baharu sektor pendidikan tinggi negara akan dilancarkan Januari 2026 - Zambry | Sukan SEA 2025: Skuad hoki lima sebelah lelaki sumbang pingat emas pertama negara, tewaskan Indonesia 7-3 | Sukan SEA 2025: Atlet taekwondo Chin Ken Haw sumbang pingat pertama negara, raih gangsa poomsae gaya bebas individu   | 

Sime Darby Property Salur RM34 Juta Kepada Battersea Project Holding Company

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Sime Darby Property Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya Sime Darby Property (Hong Kong) Ltd (SDPHK), menandatangani perjanjian pinjaman berfaedah untuk menyediakan pendahuluan pemegang saham berjumlah £6 juta kepada Battersea Project Holding Company Ltd (BPHCL).

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Sime Darby berkata: “Peruntukan pertama bantuan kewangan di bawah perjanjian pinjaman itu adalah sebanyak £6 juta (kira-kira RM34 juta).”

Di bawah perjanjian pinjaman itu, pendahuluan pemegang saham akan mempunyai tempoh selama lima tahun dengan kadar faedah dikenakan berdasarkan kadar Purata Indeks Semalaman Sterling (SONIA) ditambah 1.5 peratus setahun.

“Pendahuluan pemegang saham itu akan digunakan untuk membiayai fasa-fasa pembangunan Projek Battersea Power Station pada masa depan dan modal kerja BPHCL,” katanya.

Makluman itu turut menyatakan jumlah keseluruhan pendahuluan pemegang saham tidak dapat ditentukan pada masa ini.

“Jumlah itu akan bergantung, antara lain, kepada jumlah pembiayaan luar,” katanya.

SDPHK memegang 40 peratus kepentingan ekuiti dalam syarikat usaha sama BPHCL.

BPHCL ialah syarikat pegangan bagi projek pembangunan ikonik Battersea Power Station di London, United Kingdom.

-- BERNAMA