BERITA TERKINI   Perkhidmatan KTM Shuttle Tebrau antara Johor Bahru dan Singapura ditamatkan enam bulan selepas pengoperasian penuh RTS Link - Loke | Krisis tenaga global tidak beri kesan terhadap kemajuan projek RTS Link dan Kompleks ICQ - Loke | MAG merancang menambah kumpulan pesawat utamanya kepada 116 pesawat, menyediakan perkhidmatan ke 106 destinasi menjelang 2035 - Kapten Nasaruddin | Majlis Media Malaysia, Institut Akhbar Malaysia diminta kenal pasti etika pelaporan, video berkaitan tragedi - Fahmi | Fahmi akan dapatkan maklum balas Majlis Media Malaysia bagi pelaksanaan dasar bekerja dari rumah sektor media | 

Ringgit Dijangka Diniagakan Dalam Julat Kecil Menjelang Belanjawan 2026 Minggu Depan

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Ringgit dijangka diniagakan dalam julat RM4.20 hingga RM4.22 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan apabila peniaga mengambil sikap berhati-hati susulan penutupan kerajaan AS dan menjelang Belanjawan 2026 Malaysia.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pembentangan Belanjawan 2026 pada 10 Okt akan dipantau dengan teliti terutamanya berhubung jumlah peruntukan belanjawan, unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan sasaran defisit fiskal.

“Dalam tempoh tiga tahun lalu, kerajaan memulakan usaha pengukuhan fiskal yang melibatkan cukai-cukai baharu seperti cukai barang bernilai rendah dan cukai keuntungan modal, selain rasionalisasi subsidi.

“Ia sepatutnya memberi kesan positif kepada ringgit kerana kerajaan konsisten dalam disiplin kewangan yang boleh disifatkan sebagai positif kredit,” katanya kepada Bernama.

Bagi asas mingguan, ringgit menunjukkan pengukuhan berbanding dolar AS, ditutup kepada 4.2055/2125 daripada 4.2200/2250 sebelum ini.

Bagaimanapun, mata wang tempatan itu merosot berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia susut berbanding yen Jepun kepada 2.8537/8586 daripada 2.8171/8206, menurun berbanding euro kepada 4.9360/9442 daripada 4.9281/9340 dan merosot berbanding pound Britain kepada 5.6577/6671 daripada 5.6345/6412.

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang di negara-negara ASEAN, mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.2621/2678 daripada 3.2630/2671 dan meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.9807/13.0084 daripada 13.0587/1069.

Bagaimanapun, ia susut berbanding peso Filipina kepada 7.26/7.28 daripada 7.25/7.27 dan rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 253.9/254.4 daripada 252.1/252.5 sebelum ini.

-- BERNAMA