BERITA TERKINI   Kerajaan setuju bayar RM200 sehektar sebagai pendahuluan Bantuan Khas Insentif Pembajakan, manfaatkan hampir 240,000 pesawah - PM Anwar | MARA Corp sasar kurangkan kerugian terkumpul kepada RM49.7 juta menjelang akhir 2026, capai prestasi keuntungan terkumpul menjelang akhir 2027 - Ketua Pengarah | MARA sasar jana nilai melalui pelaburan bersasar, berimpak tinggi berjumlah RM2.2 bilion menjelang 2030, meliputi inisiatif kredit karbon dan pembangunan hartanah bernilai tinggi - Ketua Pengarah | Kadar sewa premis semua agensi kerajaan Persekutuan seperti MARA dan UDA dikurangkan, bantu peniaga kecil - PM Anwar | Cuaca panas: TUDM, Bomba diarah tingkat aktiviti pembenihan awan di utara Semenanjung bagi atasi kesukaran dihadapi petani - PM Anwar | 

Malaysia Catat Jualan Eksport Bernilai RM376.14 Juta Di Ekspo China-ASEAN Ke-22

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Pavilion Malaysia di Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) ke-22 telah merekodkan jumlah jualan RM376.14 juta, kata Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Pavilion Malaysia terdiri daripada 70 pempamer termasuk lapan kementerian dan agensi merentasi pelbagai sektor berakhir dengan jayanya, menggariskan permintaan kukuh dan peluang untuk produk dan perkhidmatan Malaysia dalam pasaran China-ASEAN.

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Datuk Seri Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata pencapaian itu mengesahkan daya saing produk dan perkhidmatan Malaysia, justeru MATRADE kekal komited untuk membuka lebih banyak peluang kepada perniagaan Malaysia untuk berkembang maju di China dan rantau ASEAN yang lebih luas.

“Penyertaan MATRADE dalam acara terkemuka ini mencerminkan komitmen kami untuk menyokong syarikat Malaysia dalam mengukuhkan kedudukan mereka dalam rakan dagangan terbesar Malaysia.

“Terutamanya bandar yang semakin berkembang seperti Nanning walaupun menghadapi cabaran berterusan dalam perdagangan global,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

MATRADE berkata pavilion itu mempamerkan pelbagai tawaran oleh Malaysia, merangkumi pendidikan, penjagaan kesihatan, farmaseutikal, kosmetik dan bahan binaan serta sektor bernilai tinggi seperti teknologi dan kecerdasan buatan (AI).

Produk terkenal di Malaysia iaitu durian, kopi putih, biskut dan sarang burung juga terus menikmati permintaan kukuh daripada pengimport yang menghadiri acara tersebut.

Pavilion Malaysia telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Pameran menyaksikan lebih 30 memorandum persefahaman (MoU), memorandum perjanjian (MoA), usaha sama dan surat hasrat, kebanyakannya hasil daripada pelbagai inisiatif perniagaan-ke-perniagaan (B2B) dianjurkan MATRADE sepanjang acara itu.

“Malaysia diberi pengi dengan pelbagai pengiktirafan atas peranannya dalam CAEXPO ke-22, memperoleh anugerah untuk Penyokong Khas untuk Kerjasama Kecerdasan Buatan (AI), Penganjur Terbaik Pengunjung Perdagangan dan Penganjur Terbaik Aktiviti Padanan Promosi Perniagaan.

“Selain itu, tiga jenama Malaysia menerima pengiktirafan istimewa daripada Sekretariat CAEXPO: The Smarter Solution Edge Sdn Bhd (Anugerah Emas untuk Suara untuk Kesihatan – Kit Rakaman), Kementerian Perladangan dan Komoditi (Anugerah Perak untuk Minyak Sawit Merah), dan Global Premium Resources Sdn Bhd (Anugerah Populariti Terbaik untuk biskut dan coklat),” katanya.

Acara itu berlangsung dari 17 hingga 21 September lepas di Nanning, China.

CAEXPO ke-22 telah terbukti sebagai salah satu platform paling berkesan untuk pengeksport Malaysia untuk mengembangkan perniagaan mereka di pasaran China.

Sebagai pintu masuk utama, ia menawarkan peluang kepada perniagaan untuk mempamerkan kekuatan mereka, membina perkongsian berkekalan dan menempatkan mereka secara strategik dalam salah satu ekonomi yang paling pesat berkembang di dunia.

“Berdasarkan pencapaian ini, MATRADE mempelawa pengeksport Malaysia khususnya mereka yang mahu mewujudkan atau mengukuhkan kehadiran mereka di China serta mengambil bahagian dalam edisi CAEXPO seterusnya pada September 2026,” kata MATRADE.

-- BERNAMA