Camaroe Sasar Tingkat Kapasiti, Pertumbuhan Di China Selepas Penyenaraian Sulung

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Camaroe Bhd memulakan penyenaraian di Pasaran ACE dengan menyasarkan pengembangan kapasiti dan pertumbuhan antarabangsa di China susulan penyenaraian itu.

Pada pukul 9 pagi, saham syarikat itu dibuka pada 16 sen, premium dua sen berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) pada 14 sen dengan 22.04 juta saham didagangkan.

Pengarah Urusannya Teoh Han Boon berkata kumpulan itu akan kekal fokus membina dan mengembangkan kapasitinya menerusi kilang baharu di Bukit Raja serta mengukuhkan jabatan bioteknologi dalaman Camaroe.

"Kami kekal fokus pada pasaran China, ia terus melihat peningkatan permintaan. Daripada tinjauan pasaran dan trend industri, kami menjangka permintaan untuk udang harimau hitam meningkat dengan ketara terutamanya dari kawasan pedalaman China," katanya semasa sidang media yang diadakan secara maya.

Ditubuhkan pada 2009, Camaroe mengendalikan pelbagai ladang udang persisir pantai dan kemudahan pemprosesan khusus di Kapar, Selangor dalam membekalkan udang harimau hitam hidup dan beku kepada pemborong tempatan dan pembeli antarabangsa.

Mengulas mengenai kapasiti semasa dan rancangan pembesaran syarikat, Teoh berkata kapasiti kilang pemprosesan kumpulan itu di Kapar adalah kira-kira 683 tan metrik (MT) setahun dan pengembangan baharu kilang itu di Bukit Raja dijangka meningkatkan kapasitinya kepada 1,500 MT setahun.

Mengenai jangkaannya untuk Belanjawan 2026, Teoh berharap kerajaan akan memberikan sokongan lebih kukuh kepada sektor akuakultur dan perikanan melalui lebih banyak insentif termasuk lanjutan pengecualian cukai untuk petani yang layak.

"Selain itu, kami berharap kerajaan akan mempertimbangkan untuk menghapuskan cukai jualan dan perkhidmatan ke atas produk pertanian. Saya percaya kebanyakan pemain industri berkongsi pandangan sama," katanya.

-- BERNAMA