BERITA TERKINI   Kelayakan Piala Asia 2027: Laos 0-3 Malaysia | FFC x TMTG : Beberapa sukarelawan Malaysia dikasari termasuk ditendang, ditampar atau dicengkam secara agresif oleh rejim Israel - CEO MyCARE | Perkhidmatan tren LRT antara Stesen Universiti dan Abdullah Hukum alami gangguan bekalan kuasa, kerja baik pulih sedang dijalankan - RapidKL | PKS perlu terima pakai teknologi baru muncul seperti AI, robotik dan automasi, pengkomputeran kuantum, IoT dan Gen-AI untuk mengukuhkan kedudukan mereka dalam rantaian bekalan global - Tengku Zafrul | Dewan Rakyat lulus RUU Agensi Persendirian (Pindaan) 2025, tambah baik proses pengeluaran, pembaharuan lesen perniagaan agensi persendirian | 

Pemandu e-Hailing Sepenuh Masa Terima Kelayakan Tambahan BUDI95 Mulai 15 Okt Ini

PUTRAJAYA, 1 Okt (Bernama) -- Kerajaan bersetuju memberikan pemandu e-hailing sepenuh masa had kelayakan tambahan subsidi BUDI MADANI RON95 (BUDI95) bermula 15 Okt ini, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

MOF dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa pemandu e-hailing tidak perlu membuat permohonan secara individu, sebaliknya kerajaan akan berurusan terus dengan syarikat pengendali e-hailing (EHO) bagi permohonan secara berkelompok.

Bagi pengangkutan air, kerajaan turut melanjutkan kelayakan BUDI95 kepada warganegara yang memiliki bot berdaftar tanpa memerlukan lesen memandu yang sah.

“Kerajaan Persekutuan sedang bekerjasama dengan agensi kerajaan negeri berkaitan seperti Lembaga Sungai-Sungai Sarawak dan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah bagi mengenal pasti pemilik bot berdaftar,” menurut kenyataan itu.

MOF turut memaklumkan had kelayakan subsidi RON95 sebanyak 300 liter sebulan bagi setiap warganegara yang layak diperbaharui mulai hari ini, dan manfaat itu akan disalurkan pada setiap 1 haribulan.

Setakat jam 6 petang ini, pembelian petrol RON95 bersubsidi menerusi sistem BUDI95 merekodkan transaksi berjumlah kira-kira RM84.2 juta.

“Jumlah itu membabitkan lebih 42.3 juta liter petrol RON95, dengan kerajaan menyalurkan subsidi sebanyak RM27.8 juta bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat,” menurut kementerian itu.

Sejak pelaksanaan berperingkat BUDI95 mulai 27 September lepas, lebih tiga juta pengguna telah memanfaatkan kemudahan itu.

Ia membabitkan jumlah keseluruhan transaksi petrol bersubsidi bernilai RM255.6 juta, bersamaan 128.4 juta liter petrol dengan subsidi RM67 juta disalurkan kerajaan.

“Kerajaan MADANI kekal komited memastikan program subsidi bersasar ini berjalan lancar, telus dan memberi manfaat langsung kepada rakyat.

“MOF bersama agensi berkaitan akan terus memantau pelaksanaan BUDI95 serta melaksanakan penambahbaikan dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.

BUDI95 dilaksanakan secara berperingkat sejak 27 Sept lepas, bermula dengan 300,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebelum diperluas kepada lebih lima juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dalam kategori B40 pada Ahad lepas.

Secara keseluruhan, seramai 16 juta rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif layak menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter, dengan had kelayakan sehingga 300 liter sebulan.

-- BERNAMA