BERITA TERKINI   Peguam ADALAH laporkan sembilan kapal misi FFC x TTMG telah ditunda ke Pelabuhan Ashdod - CEO MyCare | Peguam ADALAH sahkan kesemua 145 aktivis FFC telah dipindahkan ke penjara Ketziot di Negev, Israel - CEO MyCare | FFC x TTMG: Sembilan delegasi Malaysia dalam keadaan selamat, tujuh telah bertemu peguam ADALAH untuk urusan guaman - CEO MyCare | Jabatan Wilayah Persekutuan gubal dasar wajibkan kategori pemilikan orang Melayu dalam pembangunan kawasan Kampung Sungai Baru - Dr Zaliha | Isu Kampung Sungai Baru: Nilai pampasan yang ditawar ketika pengambilan tanah lebih menguntungkan daripada harga pasaran - Dr Zaliha | 

CIMB IB Jangka OPR Kekal 2.75 Peratus Pada November

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus pada November, menurut CIMB Investment Bank Bhd (CIMB IB).

Jangkaan itu adalah sejajar dengan kenyataan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada September, yang menyatakan tiada keperluan untuk mencetuskan perubahan segera. 

Menurut nota bank pelaburan itu hari ini, pendirian dasar monetari Bank Negara Malaysia akan terus bergantung kepada data sehingga akhir 2025.

“Penyatuan kepada fiskal akan berterusan, dengan Belanjawan 2026 mengesahkan pendirian ini. Mengikut sejarah, pelonggaran fiskal hanya berlaku semasa kemerosotan yang teruk, manakala pelarasan dasar monetori biasanya menjadi kenyataan apabila pertumbuhan merosot hingga julat di bawah empat peratus,” katanya.

CIMB berkata pembuat dasar mungkin mengekalkan pergantungan kepada data melalui mesyuarat MPC akan datang pada November.

“Pengukuhan eksport baru-baru ini telah disokong oleh penghantaran elektrik dan elektronik (E&E), yang menyumbang kira-kira 42 peratus daripada jumlah eksport, manakala eksport bukan E&E (58 peratus) menunjukkan kelemahan yang berterusan sepanjang tahun.

“Jika kelemahan ini berterusan, kami melihat skop bagi pemotongan OPR selanjutnya pada suku pertama 2026,” tambahnya. 

-- BERNAMA