BERITA TERKINI   FFC x TMTG: Sembilan aktivis Malaysia dijangka tiba di tanah air pada petang Ahad ini - Mohamad Hasan | 

SIR2035 Lakar Laluan Jelas Ke Arah Kestabilan, Transformasi Industri - Unitrade

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Pelan Hala Tuju Industri Keluli Malaysia 2035 (SIR2035) melakarkan laluan jelas ke arah kestabilan, transformasi dan penyahkarbonan sepenuhnya industri keluli negara, kata Unitrade Industries Bhd.

Pengarah Urusan kumpulan Nomis Sim Siang Leng berkata Unitrade menyambut baik hala tuju dasar yang digariskan dalam pelan itu untuk mempercepat pelaksanaan penetapan harga karbon dan kerangka ketelusan, yang akan menggalakkan penggunaan keluli hijau dan melengkapkan peranan kitar semula logam dalam mengurangkan pelepasan karbon.

“Sebagai antara pemain utama dalam sektor bahan binaan di Malaysia, dengan kami mengedarkan pelbagai produk berasaskan keluli, kami sentiasa percaya kemampanan perlu seiring dengan pertumbuhan industri.

“Atas faktor itu, kami melaksanakan langkah strategik kepada aktiviti huluan dalam kitar semula logam pada Januari 2024, yang kini menjadi tunjang kepada portfolio perniagaan hijau kami,” katanya dalam kenyataan.

Sim berkata bagi tahun kewangan 2025, perniagaan hijau yang diteraju oleh kitar semula logam menyumbang hampir 50 peratus daripada perolehan kumpulan sekali gus menekankan komitmen terhadap pertumbuhan mampan.

Pelan Hala Tuju SIR2035 yang dilancarkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri turut menekankan keperluan terhadap tindakan segera dalam peralihan ini, katanya.

Menurutnya permintaan terhadap keluli hijau dijangka meningkat 2.5 kali ganda dalam tempoh lima tahun akan datang, dan berpotensi menyumbang lebih 40 peratus daripada jumlah pembelian keluli menjelang 2030.

Daripada perspektif sebagai pemborong, Unitrade turut menyambut baik pendekatan pelan itu yang bertujuan menangani ketidakseimbangan struktur dan masalah lebihan kapasiti dalam industri keluli.

 Unitrade berkata dengan menguruskan lebihan kapasiti di peringkat huluan melalui pembaharuan pelesenan, kerajaan sedang menyediakan asas bagi membentuk industri yang lebih berdisiplin dan bersedia menghadapi masa depan.

Inisiatif yang turut sama pentingnya adalah “Beli Barangan Buatan Malaysia, Beli Rendah Karbon,” yang mengutamakan keluli rendah pelepasan karbon dalam perolehan oleh sektor awam, dan dijangka mengukuhkan permintaan terhadap produk tempatan yang mampan.

“Ini selaras dengan falsafah Unitrade sejak dahulu lagi yang mengutamakan sumber tempatan. Kami kekal komited untuk menyokong pembekalan tempatan, walaupun ini bererti melepaskan margin yang lebih tinggi daripada produk import, dengan 85 peratus daripada perolehan kumpulan adalah daripada pembekal Malaysia,” katanya.

“Langkah kerajaan melarang pemberian lesen baharu bagi relau bagas-relau oksigen asas (BF-BOF) turut sejajar dengan pendirian Unitrade untuk menghentikan penjualan bar keluli dan rod dawai yang dihasilkan melalui BF-BOF, menunjukkan komitmen bersama untuk menghentikan kaedah pengeluaran pelepasan tinggi secara berperingkat,” katanya.

-- BERNAMA