HLAM Lancar Hong Leong Global Equity Fund, Beri Akses Pasaran Dunia
KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Hong Leong Asset Management Bhd (HLAM) melancarkan dana Hong Leong Global Equity Fund yang membolehkan pelabur tempatan mendapat akses ke atas portfolio dunia yang pelbagai.
Dalam kenyataannya hari ini, HLAM berkata dana itu menggabungkan dua strategi ekuiti mantap dengan pelaburan dalam ekuiti global menerusi gaya pelaburan berbeza termasuk nilai, pertumbuhan serta alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) untuk membentuk satu portfolio ekuiti global yang berkeyakinan tinggi.
“Setiap strategi itu diuruskan berasingan oleh pasukan pelaburan khusus yang menumpukan idea pelaburan terbaik dalam mandat terbabit.
“Portfolio itu pula direka untuk kekal pelbagai dan seimbang dengan matlamat memanfaatkan pelbagai sumber prestasi,” katanya.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif HLAM Chue Kwok Yan berkata dalam keadaan ekonomi dunia yang sentiasa berubah, pelabur di Malaysia sedang mencari penyelesaian berdaya tahan yang dapat mengimbangi peluang dengan asas-asas yang kukuh.
“Sehubungan itu, dana ini bertujuan untuk memenuhi keperluan berkenaan -- menggabungkan pendedahan global strategik dengan pelaburan menumpukan idea terbaik,” katanya.
Dana Hong Leong Global Equity Fund itu boleh diperolehi di pejabat HLAM, rangkaian agensinya di seluruh negara serta portal dalam talian HL iSmart Invest.
Produk yang direka sebagai dana pertumbuhan itu ditawarkan dalam tiga kelas runcit -- Class MYR (ringgit), Class MYR-Hedged dan Class USD (dolar Amerika Syarikat) dengan setiap kelas pada harga permulaan RM1.00, RM1.00 dan US$1.00 seunit.
Pelaburan awal minimum adalah sebanyak 1,000 unit manakala pelaburan tambahan seterusnya bermula daripada 100 unit.
Selain itu, Amundi Singapore Limited telah dilantik sebagai pengurus luar dana bagi dana itu.
-- BERNAMA