BERITA TERKINI   Liga Super: KL City 0-4 JDT | Dividen operasi Felcra bagi tahun kewangan 2025 ditetapkan 15 peratus, dibayar awal tahun depan - TPM Ahmad Zahid | Sukan SEA 2025: Malaysia raih pingat emas acara Mobile Legends Bang-Bang (MLBB) wanita | Rombakan Kabinet: Kerajaan mahu beri peluang kepada pemimpin muda untuk memimpin - PM Anwar | Tumpuan saya tahun depan adalah untuk meneruskan reformasi negara dan menyelesaikan masalah penduduk - PM Anwar | 

Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah Berikutan Pengukuhan Ringgit

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah pada Selasa, terjejas susulan pengukuhan ringgit yang mungkin mengurangkan permintaan minyak sawit Malaysia dalam masa terdekat.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata sentimen pasaran juga terkesan akibat kemerosotan harga minyak soya.

"Kami mengesan paras sokongan pada RM4,300 dan paras rintangan pada RM4,480," katanya kepada Bernama.

Dilaporkan ringgit ditutup tinggi hari ini berikutan peningkatan kebimbangan terhadap kemungkinan penutupan kerajaan Amerika Syarikat (AS).

Pada 6 petang, mata wang tempatan itu naik kepada 4.2050/2090 berbanding dolar AS 4.2150/2200 ketika ditutup pada Isnin.

Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta Oktober 2025 susut RM14 kepada RM4,305 setiap tan, November 2025 turun RM31 kepada RM4,324 dan Disember 2025 merosot RM33 kepada RM4,352.

Kontrak Januari 2026 dan Februari 2026 masing-masing susut RM34 kepada RM4,376 dan RM4,382, manakala Mac 2026 merosot RM31 kepada RM4,369.

Jumlah dagangan menokok kepada 93,836 lot daripada 52,120 pada Isnin, sementara kepentingan terbuka naik kepada 258,884 kontrak daripada 254,348 sebelum itu.

Harga MSM fizikal bagi Oktober Selatan turun RM10 kepada RM4,340 setiap tan.

-- BERNAMA