BERITA TERKINI   Tumpuan saya tahun depan adalah untuk meneruskan reformasi negara dan menyelesaikan masalah penduduk - PM Anwar | Sukan SEA 2025: Harith Danial Jefri-Low Wa Sern raih emas skuasy jumbo beregu lelaki | Sukan SEA 2025: Harith Danial Jefri-Sehveetrraa Kumar rangkul emas skuasy jumbo beregu campuran | Sukan SEA 2025: Harith Danial Jefri-Sehveetrraa Kumar rangkul emas skuasy jumbo beregu campuran | Sukan SEA 2025: Atlet Muay Thai negara Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar menang pingat emas kategori 57kg lelaki | 

Belanjawan 2026: Mengemudi Cabaran Fiskal, Pemangkin Dasar - RHB IB

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Belanjawan 2026 akan berperanan sebagai peneraju fiskal dan pemangkin dasar untuk mengharungi cabaran jangka pendek dan meletakkan asas untuk pembangunan mampan dan inklusif, kata RHB Investment Bank Bhd (RHB IB).

Sebagai belanjawan pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dan keempat dalam siri MADANI, belanjawan itu akan memainkan peranan sebagai pemboleh yang penting dalam memperkukuh daya tahan ekonomi Malaysia dan meletakkan negara untuk pertumbuhan jangka sederhana.

“Belanjawan berkenaan dijangka memberi tumpuan kepada lima tonggak utama - kemampanan fiskal; rangsangan ekonomi dan pembangunan infrastruktur; kebajikan sosial dan keterangkuman; menambah baik iklim perniagaan dan pelaburan dan memajukan keutamaan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

“Ia mungkin termasuk langkah untuk menangani tekanan kos sara hidup, mengukuhkan sokongan untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS), meningkatkan daya saing menerusi insentif pelaburan, dan mempercepatkan peralihan hijau,” kata bank pelaburan itu dalam nota penyelidikan hari ini.

RHB IB berkata Belanjawan 2026 bersedia untuk bertindak sebagai penstabil dan pemangkin, menyediakan bantuan bersasar jika perlu serta memacu transformasi strategik untuk meningkatkan potensi ekonomi Malaysia dalam tempoh jangka panjang.

Sasaran defisit fiskal mungkin ditetapkan pada 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk 2026, diikuti 3.2 peratus daripada KDNK untuk tahun berikutnya bagi memenuhi sasaran defisit penggal pertengahan, katanya.

“Di bawah Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana (MTFF), defisit fiskal dijangka terus disatukan dengan baki keseluruhan purata 3.5 peratus daripada KDNK (2025-2027).

“Ini merupakan sebahagian daripada usaha untuk menurunkan defisit fiskal kepada di bawah tiga peratus daripada KDNK menjelang 2030, seiring dengan sasaran RMK-13,” kata RHB IB.

Selain itu, bank pelaburan itu menjangkakan RM86 bilion–RM89 bilion akan diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan dalam Belanjawan 2026, sejajar dengan jumlah peruntukan RMK-13 sebanyak RM430 bilion untuk 2026–2030.

"Peruntukan untuk perbelanjaan pembangunan menggariskan penekanan terhadap infrastruktur dan ketersambungan serantau. Keutamaan utama adalah untuk mengukuhkan mobiliti serantau dan menggalakkan pembangunan lebih seimbang merentas negeri," katanya.

-- BERNAMA