BERITA TERKINI   AirBorneo rancang lancarkan penerbangan permulaan dari Kuching ke Singapura, Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu pada Julai - CEO Megat Ardian | Tambang penerbangan AirBorneo buat masa ini tidak berubah walaupun harga bahan api global meningkat - CEO Megat Ardian | AirBorneo rancang lancar operasi jet serantau dari Kuching menggunakan tiga pesawat Boeing 737-800 pada Julai - CEO Megat Ardian | Anak syarikat Aneka Jaringan peroleh kontrak Projek Sambungan Lebuhraya Pantai Baharu daripada IJM Construction bernilai RM82.8 juta | Pharmaniaga akan keluar daripada status PN17 bermula 9 pagi, 17 Mac 2026 - Bursa Malaysia | 

ASEAN Digesa Jalin Kerjasama Keluli Serantau Untuk Integrasi Lebih Baik

KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Negara-negara anggota ASEAN perlu menjalin kerjasama serantau yang lebih kukuh dalam industri keluli untuk memacu pewujudan pasaran bersepadu ASEAN dan integrasi yang menyeluruh.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong berkata ASEAN boleh bekerjasama dalam pelan hala tuju penyahkarbonan, perkongsian teknologi dan perolehan secara bersama untuk membina kerjasama keluli serantau.

“Setakat ini, negara-negara anggota ASEAN menganggap pelaburan dalam industri keluli sebagai pelaburan swasta, dengan melihat peningkatan pelaburan asing serta pertumbuhan pengeluaran dan eksport keluli yang tinggi sebagai hasil yang positif.

“Bagaimanapun, berhenti pada matlamat ini boleh membawa kepada persaingan tidak sihat dalam meningkatkan kapasiti dan pelaburan dalam relau besar. Justeru, lebih banyak pelepasan karbon dan ketegangan perdagangan serta berpotensi mencetuskan perang perdagangan yang menjadi kitaran buruk,” katanya. 

Liew berkata demikian dalam ucapan pada Persidangan Penggubal Dasar mengenai Keluli ASEAN serta Forum Besi dan Keluli mengenai Kelestarian dan Pembinaan ASEAN 2025 hari ini.

Beliau berkata ini adalah masa bagi ASEAN untuk mematuhi piawaian tertinggi, mewujudkan keadaan bagi keluli yang bersih dan mesra alam, menyelaraskan kapasiti dan meneruskan pendekatan serantau untuk pengeluaran dan pelaburan keluli, termasuk mencari pembiayaan gabungan bersama.

“Dalam landskap geoekonomi yang berubah, ASEAN mempunyai keupayaan untuk membuat keputusan dan kita perlu mengambil tindakan secara bersama. 

“Kita memerlukan gabungan global untuk keluli yang bersih dan mesra alam. Saya amat berharap negara-negara anggota ASEAN dapat mengambil peranan utama untuk membina platform bagi menjayakan kerjasama tersebut,” katanya.

Liew berkata menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz akan melancarkan Pelan Hala Tuju Industri Besi dan Keluli hari ini.

-- BERNAMA