BERITA TERKINI   Pimpinan tinggi agensi penguatkuasaan diberi tempoh seminggu nyata kesediaan pikul amanah atau tukar ke jawatan lain - PM Anwar | PM Anwar beri amaran keras kepada pihak berkuasa, kesal masih wujud kelemahan tatakelola dalam negara | Peralihan sistem MyNIISe, MyBorderPass dan MyDigitalID kepada satu sistem tunggal di pintu masuk negara dijangka bermula tahun ini – Saifuddin Nasution | Kes libatkan pegawai tertinggi ATM: MINDEF tidak akan lindungi sesiapa, beri kerjasama penuh pastikan siasatan bebas, telus - Mohamed Khaled | Semua Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM 2025-2029 secara kolektif dan sukarela letak jawatan serta-merta hari ini - FAM | 

Dagangan Sekuriti Ireka Akan Digantung Pada 3 Okt, Berdepan Risiko Dinyahsenarai

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Bursa Malaysia Securities Bhd akan menggantung dagangan sekuriti Ireka Corporation Bhd (ICB) berkuat kuasa 3 Okt 2025.

Menerusi makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata bursa telah menolak permohonan ICB untuk melanjutkan masa bagi mengemukakan pelan penyusunan semulanya.

Melainkan rayuan dikemukakan pada atau sebelum 2 Okt, sekuriti syarikat itu akan dinyahsenarai daripada Senarai Rasmi Bursa Malaysia pada 7 Okt.

Menurut Bursa Malaysia, sebarang rayuan yang dikemukakan selepas tempoh masa yang ditetapkan tidak akan dipertimbangkan. Sekiranya rayuan dibuat dalam tempoh masa itu, penyahsenaraian akan ditangguhkan sementara menunggu keputusan.

"Bagaimanapun, Bursa Securities akan meneruskan untuk menggantung dagangan sekuriti syarikat pada 3 Okt, walaupun keputusan rayuan syarikat masih belum selesai," kata ICB.

 Sebaik sahaja dinyahsenarai, sekuriti ICB akan ditarik balik daripada Bursa Malaysia Depository Sdn Bhd, dengan syarikat itu terus mengekalkan maklumat pemegang sahamnya dalam daftarnya.

ICB berkata syarikat itu akan menjadi entiti tidak tersenarai dan kekal dapat beroperasi serta meneruskan penstrukturan semula korporat.

 Hak pemegang saham akan kekal dilindungi di bawah Akta Syarikat 2016, walaupun saham mereka tidak lagi disebut harga atau didagangkan di Bursa Malaysia

Menerusi makluman kepada Bursa Malaysia pada Selasa, syarikat itu melaporkan bahawa ia telah gagal membayar balik pinjaman berjumlah RM1.04 juta kepada Hong Leong Bank Bhd (HLBB) dan AmBank (M) Bhd.

ICB berkata kemungkiran bayaran  itu berkaitan dengan kemudahan pembiayaan yang asalnya diberikan kepada bekas anak syarikat milik penuhnya, Ireka Engineering & Construction Sdn Bhd (IECSB), yang telah menamatkan operasi.

-- BERNAMA