Ringgit Tinggi Berbanding Dolar AS, Mata Wang Utama Menjelang Data PCE AS Dikeluarkan

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS pada Khamis berikutan sentimen pasaran yang lebih baik menjelang data inflasi Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) Amerika Syarikat (AS) dikeluarkan pada Jumaat.

Indeks harga PCE mengukur harga yang dibayar oleh pengguna AS untuk barangan dan perkhidmatan dan merupakan ukuran inflasi pilihan Rizab Persekutuan (Fed) AS.

Pada 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.2085/2120 berbanding dolar AS daripada 4.2120/2170 dicatatkan pada Rabu.

Bagaimanapun, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pasaran kekal berhati-hati berikutan kebimbangan inflasi AS yang berterusan akan terus mewajarkan pendirian monetari Fed yang ketat.

“Sentimen berhati-hati yang diambil oleh pengerusi Fed menunjukkan bank pusat AS dijangka tidak melonggarkan dasar monetarinya secara agresif,” katanya kepada Bernama.

Oleh itu, katanya ringgit diniagakan dalam jajaran kecil berbanding dolar AS hari ini dan berada antara RM4.2050 dan RM4.2170.

Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.8283/8308 daripada 2.8400/8436, meningkat berbanding pound kepada 5.6600/6647 daripada 5.6761/6828 dan tinggi berbanding euro kepada 4.9429/9470 daripada 4.9567/9626 sebelum ini.

Mata wang tempatan turut tinggi berbanding mata wang ASEAN.

Ia meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.0959/1133 daripada 13.1572/1781, naik berbanding dolar Singapura kepada 3.2662/2692 daripada 3.2743/2784 dan tinggi berbanding rupiah Indonesia kepada 251.2/251.5 daripada 252.4/252.8.

Ia melonjak berbanding peso Filipina kepada 7.24/7.25 daripada 7.33/7.34 semalam.

-- BERNAMA