BERITA TERKINI   Sembilan aktivis Malaysia sertai misi Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza mungkin dibawa ke Istanbul, Turkiye petang ini - MyCARE | Gempa bumi kuat melanda Mindanao, Filipina pada 9.44 pagi, tiada ancaman tsunami kepada Malaysia - MetMalaysia | 

Perdagangan Dua Hala ASEAN-Jepun Capai US$236.4 Bilion Pada 2024

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Jepun kekal sebagai satu daripada rakan dagang dan pelabur terbesar ASEAN dengan jumlah perdagangan dua hala mencapai US$236.4 bilion (US$1 = RM4.2) pada tahun lepas, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata pelaburan langsung asing (FDI) Jepun ke ASEAN mencecah hampir US$18 bilion berikutan syarikat-syarikat Jepun sudah lama menganggap ASEAN sebagai hab penting dalam rantaian bekalan global mereka.

“Bagi hubungan ekonomi ASEAN-Jepun, selama lebih lima dekad, hubungan kita dibina atas dasar kepercayaan, kerjasama dan saling menghormati.

“Jepun merupakan antara rakan dialog pertama ASEAN dan hari ini, hubungan ekonomi kita kekal sebagai satu daripada tonggak hubungan luar ASEAN,” kata Tengku Zafrul dalam ucapan pembukaannya sewaktu Konsultasi Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM)-Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (METI) ke-31 di sini hari ini.

Beliau menegaskan Jepun secara konsisten kekal sebagai rakan dagang keempat terbesar ASEAN sejak lima tahun lepas dan juga merupakan sumber FDI kelima terbesar dalam kalangan rakan dialog ASEAN.

Selain itu, Tengku Zafrul berkata pelaburan Jepun bukan sahaja tertumpu kepada sektor tradisional seperti pembuatan dan infrastruktur tetapi semakin berkembang dalam bidang baharu dan berorientasikan masa depan seperti daya tahan rantaian bekalan, perubahan digital dan hijau, pembangunan modal insan serta kerjasama serantau dan global.

Katanya, ini termasuk melalui pelaksanaan Perkongsian Ekonomi Komprehensif ASEAN–Jepun (AJCEP) serta Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang menyediakan platform kukuh untuk liberalisasi perdagangan dan pelaburan.

Beliau turut menekankan iaitu keserasian ini menjadikan perkongsian ASEAN-Jepun begitu bertahan lama.

"Tahun ini, semasa kita memperingati ulang tahun ke-52 hubungan ASEAN–Jepun, kita harus menegaskan semula komitmen kita untuk mengukuhkan perkongsian strategik ini.

"Ia bukan sekadar mengenai angka atau aliran perdagangan. Ia tentang membina daya tahan terhadap ketidaktentuan global, memupuk inovasi dan kelestarian serta memastikan rakyat kita menikmati keamanan dan kemakmuran yang berkekalan," tambahnya.

-- BERNAMA