BERITA TERKINI   Piala Malaysia: Selangor FC 1-1 Kuching City FC | Malaysia perlu amal pendekatan diplomasi bijak bagi hadapi ketidaktentuan ekonomi global akibat konflik geopolitik dunia - PM Anwar | Program MADANI Rakyat 2026 Perak rekod 303,222 pengunjung, paling tinggi sejak program itu diadakan - Nga | Generasi muda perlu kuasai kemahiran, kepakaran bidang baharu bagi wujudkan lebih ramai pakar tempatan - PM Anwar | 

ASEAN Rakan Dagang Kedua Terbesar Korea Selatan Selepas China

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- ASEAN telah menjadi rakan dagang kedua terbesar Korea Selatan selepas China dengan hubungan perdagangan dan pelaburan yang semakin meningkat, menandakan kepentingan perkumpulan itu kepada negara tersebut dalam tempoh beberapa tahun ini. 

Menteri Perdagangan Korea Selatan Yeo Han-Koo berkata peningkatan ini dicapai melalui perjanjian perdagangan bebas (FTA) dan perjanjian dua hala dengan negara anggota dan melalui Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

"Korea Selatan kini sedang membincangkan proses pindaan FTA dengan rakan dialog dan merundingkan perdagangan dua hala dengan beberapa negara anggota ASEAN," katanya semasa perundingan ASEAN-ROK ke-22 pada hari ketiga mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57, di sini, hari ini.

Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata ASEAN dan rakan dialog Korea Selatan sedang menimbang inisiatif untuk mengukuhkan lagi hubungan perdagangan dan pelaburan.

Beliau berkata Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-ROK pada Oktober 2024 membuka lembaran baharu hubungan dengan rangka kerja yang menyediakan hala tuju dalam bidang seperti ekonomi digital, peralihan hijau dan rantaian bekalan yang berdaya tahan.

Ini, katanya, bagi memastikan kerjasama kekal relevan dan saling memberi manfaat.

Tengku Zafrul berkata butiran terperinci mengenai Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Korea (AKFTA) yang dinaik taraf sedang dimuktamadkan dan akan diumumkan pada sidang kemuncak pemimpin bulan depan.

AKFTA telah berkuat kuasa sejak 1 Jan, 2010.

-- BERNAMA