HDC Meterai Perjanjian Dengan Global Psytech Untuk Perkukuh PKS Dalam Industri Halal

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Halal Development Corporation Bhd (HDC) di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah memeterai perjanjian penglibatan dengan Global Psytech Sdn Bhd (GPSB) untuk meningkatkan daya saing dan daya tahan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam industri halal.

Ditubuhkan pada 2017, GPSB adalah sebuah syarikat teknologi data yang mempunyai pengkhususan dalam penyelesaian tingkah laku dan analisa data merentas pelbagai industri.

HDC dalan satu kenyataan berkata kerjasama itu akan menyaksikan GPSB memperkenalkan tiga platform digital iaitu Platform Analitik Bakat, Platform Analitik Usahawan serta Platform Etika dan Tadbir Urus.

“Penyelesaian ini direka bentuk untuk membantu perniagaan halal menambah baik keupayaan kepimpinan, meningkatkan celik kewangan dan pemikiran strategik serta memperkukuh etika dan tadbir urus sebagai pemacu utama daya tahan jangka panjang,” katanya.

HDC berkata ia akan mempromosikan inisiatif itu melalui Platform Bersepadu Halal (HIP) yang menghimpunkan lebih 13,000 pemain industri untuk membantu ahli mengukuhkan prestasi, membina pasukan berkebolehan dan memanfaatkan peluang pertumbuhan di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) HDC Hairol Ariffein Sahari berkata kerjasama dengan GPSB mencerminkan komitmen agensi itu untuk menyokong PKS halal melangkaui pensijilan dan akses pasaran.

“Dengan memberi tumpuan kepada kekuatan organisasi dan pembangunan bakat, kami sedang menyediakan perniagaan untuk berkembang maju dalam ekonomi halal yang semakin kompetitif,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif GPSB Dr Haniza Yon berkata penggunaan maklumat tingkah laku dipacu kecerdasan buatan (AI) bertujuan membantu PKS halal menambah baik dalam membuat keputusan, mengurangkan risiko dan berkembang dengan integriti

“Bersama HDC, kami memupuk perniagaan berdaya tahan yang mampu mencapai kejayaan untuk tempoh jangka panjang di pentas global,” katanya.

HDC juga berkata kerjasama itu menyokong Pelan Induk Industri Halal 2030 yang bertujuan untuk meletakkan Malaysia sebagai hab halal global terkemuka, menyumbang secara signifikan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar negara menjelang 2030.

"Inisiatif itu juga diharap akan memacu ekonomi halal yang dipacu data, fokus bakat dan beretika, menjadikan halal sebagai pilihan utama dalam usaha niaga global," katanya.

-- BERNAMA