BERITA TERKINI   Bantuan Wang Ihsan akan disalurkan ketika mangsa banjir masih berada di PPS - TPM Ahmad Zahid | Cadangan naikkan jumlah Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada mangsa bencana akan dibawa ke mesyuarat Kabinet - TPM Ahmad Zahid | Sukan SEA 2025: Malaysia capai sasaran pingat ke-200 dengan raih emas acara berbasikal trek kejar-mengejar berpasukan lelaki | Sukan SEA 2025: Pelumba basikal trek negara Nur Aisyah Mohamad Zubir raih pingat emas acara scratch wanita | Sukan SEA 2025: Pelumba basikal trek negara Muhammad Ridwan Sahrom rangkul pingat emas acara keirin lelaki | 

ASEAN Meterai Perjanjian Naik Taraf ACFTA 3.0 Pada Oktober - Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Negara-negara anggota ASEAN telah bersetuju secara bersama untuk memeterai perjanjian naik taraf Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA 3.0) pada Sidang Kemuncak ASEAN bulan depan, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Persetujuan itu dicapai berikutan rundingan lancar antara negara anggota dan Kementerian Perdagangan China (MOFCOM) semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 hari ini.

“Rundingan kita berjalan lancar. Kita telah berbincang mengenai naik taraf FTA ASEAN-China 3.0. Semua negara bersetuju akan menandatangani pada Oktober ini semasa mesyuarat bersama pemimpin negara yang lain,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Rundingan AEM-MOFCOM ke-24.

Tengku Zafrul berkata sektor pengguna adalah antara sektor yang dikenal pasti, dan ASEAN perlu memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan eksport ke China.

Katanya sektor teknologi juga penting dan perlu diberikan perhatian dengan menyediakan peluang kepada syarikat dari ASEAN untuk menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan China.

“Kita turut membincangkan mengenai perdagangan yang lebih inklusif dari segi undang-undang untuk memastikan perdagangan antara China dan ASEAN ini adalah perdagangan yang telus dan adil. 

“Jadi selepas ini banyak bengkel atau seminar akan diadakan mengenai undang-undang antara China dan ASEAN untuk membincangkan isu perdagangan,” katanya.

Beliau berkata China telah menjadi rakan perdagangan terbesar ASEAN selama 16 tahun berturut-turut manakala ASEAN sebagai rakan perdagangan utama China sejak lima tahun lepas.

Tengku Zafrul berkata perdagangan antara ASEAN dan China diunjurkan mencecah US$1 trilion (US$1=RM4.196) tahun ini.

-- BERNAMA