BERITA TERKINI   Inflasi Malaysia meningkat 2.0 peratus pada Mei 2026 - DOSM | Lebihan dagangan meningkat kepada RM40.4 bilion pada Mei 2026, sekali gus mencatat lebihan selama 73 bulan berturut-turut sejak Mei 2020 - DOSM | Eksport Malaysia tumbuh 45.3 peratus kepada RM184.0 bilion, import naik 14.1 peratus kepada RM143.6 bilion pada Mei 2026 - DOSM | Jumlah perdagangan Malaysia meningkat 29.8 peratus kepada RM327.6 bilion pada Mei 2026, didorong pertumbuhan eksport lebih kukuh - DOSM | DBKL peruntuk RM200 juta di bawah Program Lestari Niaga bangunkan semula 287 lokasi gerai penjaja di ibu negara - Hannah | 

Kerjasama China-ASEANs Jana Jumlah Perdagangan Cecah US$1 Trilion

Daripada Rohani Mohd Ibrahim

BEIJING, 23 Sept  (Bernama) -- Kerjasama yang bersifat praktikal dalam pelbagai sektor antara China dan negara-negara ASEAN membuahkan hasil apabila jumlah perdagangan mencecah kira-kira US$1 trilion pada 2024, menurut jurucakap Kementerian Luar China, Guo Jiakun.

Beliau berkata China dan ASEAN masing-masing merupakan rakan dagang terbesar selama lima tahun berturut-turut, dengan pelaburan dua hala melebihi US$450 bilion sehingga Julai 2025.

“Ekspo China-ASEAN ke-22 baru-baru ini menyaksikan pelancaran 70 produk baharu, sekali gus menekankan potensi negara-negara China dan ASEAN dalam merebut peluang pembangunan baharu serta membuka prospek kerjasama,” katanya pada sidang media hari ini.

Menurut Guo, landskap antarabangsa yang semakin kompleks menuntut usaha bersama berteraskan prinsip yang saling menguntungkan.

China, tegas beliau, bersedia meningkatkan keterhubungan dengan semua pihak, termasuk negara-negara ASEAN, bagi bersama-sama menggiatkan integrasi serantau dan globalisasi ekonomi serta membawa manfaat keterbukaan dan kerjasama kepada rakyat dan negara.

Sebelum ini, antara 2024 hingga 2025, kedua-dua pihak pernah menganjurkan siri aktiviti sempena Tahun Pertukaran Rakyat China-ASEAN yang mengukuhkan interaksi serta jalinan hubungan lebih rapat antara rakyat.

Selain itu, kedua-dua pihak turut bekerjasama dalam bidang ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI) dan tenaga baharu, yang meningkatkan kualiti pembangunan serantau serta merangsang inovasi, kata beliau.

Beliau berkata projek kereta api China-Laos yang merupakan projek utama inisiatif Jalur dan Laluan (Belt and Road) antara China dan ASEAN, adalah usaha bersama bagi memacu integrasi ekonomi serantau.

-- BERNAMA