BERITA TERKINI   Malaysia, Pakistan perlu perkukuhkan lagi kerjasama dua hala dan melaksanakan dasar yang lebih agresif dan progresif - PM Anwar | NAIO sedang membangunkan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026-2030 untuk menetapkan hala tuju penggunaan AI yang bertanggungjawab dan inovatif pada masa depan -- Gobind Singh | Mohamad Sabu terima rawatan rutin di IJN, keadaan stabil dan dinasihatkan berehat kerana terdapat simptom keletihan - Pejabat Menteri | SPR ambil maklum pembubaran DUN Sabah, mesyuarat khas akan diadakan bincang tarikh penting PRN | Kerajaan optimis sektor inap desa jana pendapatan sehingga RM200 juta pada 2026, tarik lima juta pelancong menjelang 2030 - Ahmad Zahid | 

Malaysia Berada Di Landasan Capai Sasaran Defisit Susulan Penjimatan Subsidi BUDI95 Hingga RM4 Bilion

SHAH ALAM, 23 Sept (Bernama) -- Malaysia berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran defisit belanjawan tahun ini sebanyak 3.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berikutan pelaksanaan program subsidi bersasar BUDI MADANI RON95 (BUDI95), kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Bercakap semasa taklimat media mengenai BUDI95 di sini hari ini, Amir Hamzah berkata kerajaan menjangka penjimatan tahunan antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion melalui subsidi bersasar RON95, dan menyasarkan kejayaan yang sama seperti sistem subsidi diesel bersasar yang telah diperkenalkan.

Menurutnya sistem subsidi diesel bersasar telah melebihi jangkaan, dengan anggaran penjimatan antara RM6 bilion hingga RM7 bilion berbanding sasaran awal RM4 bilion.

“Bagi RON95, subsidi akan ditarik balik untuk golongan tidak layak, memberikan penjimatan antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion,” katanya sambil menambah jumlah sebenar bergantung kepada harga minyak global.

Amir Hamzah berkata sekiranya harga minyak dunia meningkat, jumlah subsidi untuk rakyat Malaysia juga akan meningkat.

Katanya kerajaan akan mengenakan kos bahan api sepenuhnya kepada mereka yang tidak layak sekali gus membolehkan penjimatan disalurkan semula kepada kewangan negara.

Anggaran penjimatan ini dilaporkan semalam berdasarkan harga minyak mentah kira-kira US$75 setong.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengumumkan harga petrol RON95 dikurangkan kepada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter berkuat kuasa 30 September ini melalui penyasaran subsidi di bawah program BUDI95.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata semua warganegara yang memiliki lesen memandu sah layak untuk subsidi RON95, dan berdasarkan data Jabatan Pengangkutan Jalan serta Jabatan Pendaftaran Negara, dianggarkan lebih 16 juta orang layak menerima subsidi itu.

-- BERNAMA