BERITA TERKINI   STAM 2025: 2,816 calon berjaya lepasi syarat kelayakan untuk dianugerahkan STAM - KPM | Johor tetapkan kadar zakat fitrah tahun ini kepada tiga kategori, RM8, RM10 dan RM20 - Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor | Nilai transaksi perbelanjaan SARA di pasaran tempatan mencecah RM4.8 bilion - Amir Hamzah | Sebanyak RM150 juta baki peruntukan bantuan Program SARA (MyKasih) tidak dibelanjakan penerima sehingga 31 Dis 2025 - Amir Hamzah | Seorang lelaki maut dan tujuh lagi cedera dalam kemalangan di KM 433 Lebuhraya PLUS arah selatan berhampiran Rawang awal pagi tadi - Bomba Selangor | 

MyIPO Lancar Program Intensif, Lahirkan Penilai Harta Intelek Bertauliah

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) --  Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) hari ini melancarkan Program Intensive IP Valuer and Examination 2025 bagi melahirkan penilai harta intelek (IP Valuer) bertauliah yang berkeupayaan menilai potensi komersial secara profesional dan bertaraf antarabangsa.

Dalam kenyataannya, MyIPO berkata penilaian IP secara tepat dapat membolehkan IP yang diinsurans, dilaburkan dan diperdagangkan, menjadi setara dengan aset fizikal lain dan seiring aspirasi kerajaan untuk menjadikan IP sebagai sumber pertumbuhan ekonomi baharu negara.

“Program intensif ini meneruskan kejayaan MyIPO membangunkan Model Penilaian IP Malaysia sejak 2013 dan kini diperkasa melalui sokongan serantau menerusi ASEAN IP Valuation Model (Model Penilaian IP ASEAN).

“Model dibangunkan bersama Pertubuhan Harta Intelek Dunia (WIPO) dan ASEAN Working Group on Intellectual Property Cooperation (AWGIPC) ini menyasarkan penyeragaman standard penilaian IP di seluruh rantau, sekali gus meningkatkan keyakinan pasaran dan pelabur terhadap nilai sebenar IP,” katanya.

Majlis pelancaran program itu telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah MyIPO Yusnieza Syarmila Yusoff, dan dihadiri lebih 50 peserta yang merangkumi wakil Kementerian serta agensi teknologi.

Menurut MyIPO, peserta program akan mengikuti modul latihan komprehensif dan peperiksaan pensijilan yang menekankan metodologi penilaian antarabangsa dan amalan terbaik industri.

“Menerusi usaha melahirkan lebih ramai penilai IP bertauliah, Malaysia bersedia memacu pengewangan harta intelek, memudahkan pencipta dan usahawan mengakses pembiayaan, serta mengukuhkan kedudukan negara dalam ekonomi berasaskan pengetahuan,” katanya.

-- BERNAMA