BERITA TERKINI   JIM akan mula mengeluarkan Pasport Malaysia Antarabangsa versi baharu dilengkapi 94 ciri keselamatan pada 1 Jun - KP Imigresen | Jumlah pendapatan pelaburan KWSP meningkat 51 peratus kepada RM27.73 bilion pada suku pertama 2026 daripada RM18.31 bilion sebelum ini | 15 kapal melibatkan 25 rakyat Malaysia dipintas dan ditahan tentera laut rejim Zionis Israel (IOF) setakat ini - KP SNCC | 10 kapal dijangka tiba berhampiran pantai Gaza dalam tempoh kira-kira sembilan jam jika tidak berdepan gangguan - KP SNCC | 10 kapal kini dalam pelayaran di Zon Merah 2, kira-kira 100 batu nautika dari pantai Gaza - KP SNCC | 

SP Setia Lantik Timbalan CEO, COO Baharu

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- SP Setia Bhd melantik Tan Hwa Min sebagai timbalan ketua pegawai eksekutif (CEO) berkuat kuasa 17 Nov, dan Datuk Yuslina Mohd Yunus sebagai ketua pegawai operasi (COO) berkuat kuasa 1 Okt, berikutan pelantikan Datuk Zaini Yusoff sebagai presiden merangkap CEO berkuat kuasa 1 Okt.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, pemaju hartanah itu berkata pelantikan berkenaan selaras dengan agenda bakat kepimpinannya yang mantap sambil terus membangunkan bakat dalaman dan menarik profesional berkaliber tinggi dari luar bagi memperkukuh pasukan pemimpinnya.

SP Setia berkata Tan kini berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Strategi IJM Corporation Bhd dan Pengarah Urusan IJM RE Sdn Bhd dan mempunyai 15 tahun pengalaman dalam pembangunan hartanah dan transformasi strategik.

“Sebelum itu, Tan merupakan COO TRX City Sdn Bhd, di mana beliau memainkan peranan penting dalam pembangunan Tun Razak Exchange,” tambahnya.

Sementara itu, Yuslina yang sebelum ini bersama I&P Group, menyertai SP Setia pada 2018 dan kini berkhidmat sebagai naib presiden eksekutif kanan syarikat itu.

Peranan beliau di SP Setia termasuk menyelia enam kawasan perbandaran utama, operasi pihak berkepentingan, pengurusan aset dan Yayasan SP Setia.

Pengerusi SP Setia Tan Sri Syed Anwar Jamalullail berkata pelantikan berkenaan menunjukkan komitmen syarikat untuk membentuk pasukan pemimpin yang bersedia menghadapi masa hadapan.

“Dengan menerima profesional berpengalaman yang membawa perspektif baharu dan wawasan strategik sambil memupuk bakat dalaman, kami memperkukuh budaya inovasi, daya tahan dan kepimpinan berwawasan yang akan memacu evolusi berterusan SP Setia,” katanya.

-- BERNAMA