BERITA TERKINI   Intitusi pondok dan tahfiz perlu lakukan penyesuaian termasuk kuasai teknologi digital dan AI - PM Anwar | Kerajaan lulus RM34.81 juta tahun ini untuk laksana 137 projek pembaikan kecil pondok dan tahfiz di seluruh negara - PM Anwar | 

Media Selami Keunikan Jambatan Tertinggi Dunia Huajiang Gorge Di China

Oleh Sharifah Hunaini Syed Ismail

GUIZHOU (CHINA), 22 Sept (Bernama) -- Mengagumkan, inilah yang terdetik di hati wartawan dari lapan negara yang berkesempatan melihat sendiri “keajaiban buatan manusia” -- Jambatan Huajiang Gorge di China yang bakal bergelar jambatan gantung tertinggi dunia apabila siap kelak.

Jambatan pada ketinggian 625 meter di kawasan gaung dalam, kini di fasa akhir pembinaannya dan menghubungkan Daerah Guanling di Bandar Anshun dengan Daerah Zhenfeng di Wilayah Autonomi Buyei serta Miao Qianxinan di Wilayah Guizhou.

Apa yang menarik, laluan yang turut dikenali sebagai Jambatan Grand Canyon Huajiang dan dijadual siap pada 28 September ini, bakal mencatat rekod dari segi jarak rentang utama terpanjang dunia dalam kategori jambatan pergunungan serta jambatan tertinggi dunia di kawasan pergunungan.

Justeru, kesempatan mendapat akses melihat sendiri jambatan sebelum dibuka kepada awam, menjadi detik bermakna bagi kumpulan wartawan asing, termasuk penulis, yang menghadiri Forum Kerjasama Media Belt and Road 2025.

Ketika berkongsi keunikannya, Ketua Jurutera Institut Penyelidikan Perancangan dan Reka Bentuk Pengangkutan Guizhou, Yang Jian berkata jambatan yang disifatkan sebagai siap 99.9 peratus, adalah projek utama bagi Lebuhraya Liuzhi-Anlong serta projek perintis bagi integrasi antara infrastruktur jambatan dan pelancongan di Guizhou serta dibiayai dan dibina oleh Guizhou Communications Investment Group Co. Ltd.

Terletak di kawasan dikenali sebagai “Fissure of the Earth” atau Rekahan Bumi, jambatan ini sejauh 2,890 meter dengan rentang utama sepanjang 1,420 meter dan dek atau pelantar jambatan setinggi 625 meter dari paras sungai di bawahnya.

Yang berkata Jambatan Grand Canyon Huajiang adalah sebuah projek jenama bebas, direka serta dibina sepenuhnya oleh pihak Guizhou dengan sebahagian besar bahan diperoleh secara tempatan.

“Pasukan pembinaan, disokong oleh Guizhou Communications Investment Group, merangkumi Pasukan Jurutera Terkemuka Negara atau lebih dikenali sebagai Pasukan Teknologi Pembinaan Jambatan Pergunungan dan Gaung Guizhou yang (selain ciri kejuruteraan) turut membawa bersama aspek kepintaran dan semangat bagi projek ini,” katanya pada sesi taklimat, semalam.

Beliau berkata pembinaan jambatan itu bermula pada 2020, dibarisi kumpulan anak muda dengan purata usia 32 tahun yang terpaksa bekerjadi kawasan pergunungan sukar selain keperluan memantau setiap fasa projek dengan teliti.

“Dalam tempoh lebih tiga tahun, pasukan itu berjaya menyiapkan pembinaan jambatan itu, sekali gus membuktikan kecekapan ‘Kelajuan China’ serta kekuatan dan kemampuan penduduk Guizhou,” katanya.

Projek yang turut dikenali sebagai Integrasi Jambatan-Pelancongan 3.0 di Guizhou, bermatlamat mewujudkan jenama pelancongan bertaraf dunia dengan gabungan aktiviti melihat jambatan serta pengalaman sukan dan khidmat pelancongan.

Kos pembinaan jambatan dan kompleks sekitarnya mencecah kira-kira RMB2.2 bilion.

Yang turut berkongsi kepakaran pasukan itu dari segi pendekatan, inovasi dan penggunaan teknologi, bahan dan peralatan baharu.

Antara pencapaian teknikal utama projek ini adalah penggunaan pelana kabel ringan hasil proses tempa dan kimpalan, peralatan profesional untuk pengawasan angin di kawasan gaung, tali kabel utama kalis cuaca dengan kekuatan ultra-tinggi serta penggunaan serbuk batu sebagai bahan campuran konkrit.

Ini diperkukuhkan lagi dengan kaedah pembinaan canggih seperti penggunaan data raya, teknologi jambatan digital, tali kabel pintar, sistem kawalan suhu modular berasaskan pengkomputeran awan untuk konkrit berskala besar selain sistem penyemburan automatik dan rawatan tiang tinggi.

Di sebalik aspek kejuruteraannya yang ikonik, kalangan wartawan yang hadir turut memuji konsep integrasi atau penyepaduan jambatan dan pelancongan sebagai satu pendekatan berani dan inovatif.

Projek bertemakan “Khazanah Negara Berkepentingan Strategik dan Tapak Fosil Zaman Triasik di Guizhou” yang menggabungkan elemen pemandangan kanyon, geologi Triasik, budaya tempatan selain aktiviti rekreasi luar.

Kompleks itu mengetengahkan pelbagai program industri menggabungkan pelancongan jambatan dan sukan, termasuk koridor landskap, dewan atau ruang tinjau berkaca, kemudahan lif bagi melihat pemandangan serta aktiviti pengalaman.

Turut dirancang adalah 20 hartanah komersial yang merangkumi 18 format perniagaan, termasuk pasar makanan, premis runcit dan pameran pertanian.

Kemudahan sukan dan rekreasi yang ditawarkan adalah aktiviti terjunan bungee pada altitud tinggi, buaian udara, litar perlumbaan serta laluan langkah demi langkah.

Aspek menarik lain adalah persembahan tirai cahaya dan air yang bakal menampilkan juraian air sepanjang 300 meter dan dilengkapi sistem laser berketepatan tinggi.

Selain itu, koridor jambatan pula menempatkan sebuah dewan tinjau berkaca seluas 1,152 meter persegi yang terletak 850 meter dari menara jambatan dan 625 meter dari paras sungai. Dewan ini dibangunkan dengan kerjasama Muzium Geologi Guizhou, China National Gold Group Co Ltd dan Jabatan Hal Ehwal Awam Wilayah Guizhou.

Lif pelancongan setinggi 207 meter pula menjadi kemudahan untuk membawa pelawat ke puncak jambatan, menghubungkan mereka ke koridor kaca di dek bawah manakala sebuah hotel berkeluasan 15,552 meter persegi turut dibina yang menawarkan 83 bilik tetamu, kolam infiniti, pusat kecergasan, bilik mesyuarat pelbagai fungsi serta restoran.

Penyelidik Institut Sejarah dan Sastera Guizhou merangkap Profesor Universiti Normal Guizhou, Zhang Ziaosong berkata tapak itu adalah kawasan arkeologi mengandungi fosil zaman Triasik.

Tapak Fosil Triasik Guizhou itu kini dalam senarai sementara Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu atau UNESCO yang berpotensi untuk disenaraikan sepenuhnya pada 2027.

Fosil berusia 250 juta tahun akan dipamerkan di dua buah muzium dalam kompleks itu.

“Kira-kira 250 juta tahun dulu, kawasan ini adalah lautan. OLeh itu, reka bentuk utama bangunan berbentuk seperti kapal layar itu adalah paparan warisan lautnya,” katanya.

Menjawab pertanyaan wartawan mengenai kemampuan projek itu siap tepat pada 28 September ini, Zhang memberi jaminan: “Tiada masalah. Ia akan siap tepat masanya. Tidakkah anda tahu mengenai ‘Kelajuan China?’ 

“Ini merujuk kepesatan pembangunan infrastruktur di China hasil daripada perancangan berpusat, keputusan pantas serta pelaksanaan yang efisien.”

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Parti Komunis Bandar Huajiang Xu Daihui yang meraikan kehadiran kumpulan wartawan itu, turut mengetengahkan tarikan bandar itu, termasuk Air Terjun Huangguoshu dan Taman Geologi Negara.

“Mercu tanda terbaharu, Jambatan Huajiang ini pula menawarkan pemandangan 360 darjah dan pengunjung boleh menghayatinya samada dari bot laju di sungai atau di udara dengan menaiki helikopter. Dalam tempoh dua dekad lepas, gunung-ganang dan sungai-sungai ini telah mengalami transformasi yang dramatik,” katanya.

Dalam pada itu, sebanyak 24 wartawan yang mewakili 20 agensi media negara-negara ASEAN seperti Malaysia, Thailand, Brunei, Laos, Kemboja dan Republik Korea, turut serta dalam lawatan ini selepas menghadiri Forum Kerjasama Media ASEAN + Tiga ke-11 yang diadakan pada 17 September di Kunming, Wilayah Yunnan.

Acara itu adalah anjuran bersama People's Daily, Jawatankuasa Wilayah Parti Komunis China (CPC) Yunnan dan Kerajaan Wilayah Yunnan.

-- BERNAMA