BERITA TERKINI   Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya batalkan saman pemula P. Waytha Moorthy cabar pelantikan beliau sebagai PM | Sunway Healthcare Holdings Bhd mula disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada RM1.70, premium 25 sen daripada harga IPO RM1.45, dengan 38.37 juta saham diniagakan | Dua maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Bandar Baru Tanah Merah, Jalan Machang-Tanah Merah awal pagi tadi - Bomba | 

Pasaran Getah Malaysia Bakal Alami Dagangan Berhati-hati Minggu Depan

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Pasaran getah tempatan dijangka diniagakan dalam jajaran kecil minggu depan memandangkan para peniaga masih menilai situasi pasaran global.

Pakar industri Denis Low berkata pasaran getah akan diniagakan secara berhati-hati dengan kecenderungan untuk susut berikutan ketidaktentuan ekonomi global yang mempengaruhi permintaan.

Beliau berkata hujan berterusan dan lebat di kawasan pengeluar getah menyebabkan bekalan getah terhad, namun penggunaan yang lemah di seluruh dunia akibat keadaan ekonomi yang tidak menentu telah mengimbangi permintaan dan harga.

Jabatan Meteorologi Thailand (TMD) telah mengeluarkan amaran hujan lebat boleh menyebabkan banjir kilat, limpahan air dan laut bergelora, manakala ramalan cuaca di Malaysia pula menjangkakan lebih banyak hujan lebat dan banjir apabila negara beralih daripada monsun barat daya kepada monsun timur laut, katanya.

Bagaimanapun, Pertubuhan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) berkata pasaran getah mungkin mencatatkan trend menaik, disokong oleh pemotongan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) yang pertama tahun ini dan kesannya ke atas dasar monetari pada masa hadapan.

Langkah itu apabila digabungkan dengan pelbagai usaha dari China untuk merangsang penggunaan dan perdagangan, serta keadaan cuaca di negara-negara pengeluar getah, mungkin menunjukkan petanda positif untuk harga getah, kata persatuan itu kepada Bernama.

Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup selama dua hari pada 15 dan 16 Sept, 2025 (Isnin dan Selasa), sempena cuti sambutan Hari Malaysia.

Bagi asas minggu ke minggu, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) susut 10.5 sen kepada 726.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal naik 2.5 sen kepada 578 sen sekilogram.

-- BERNAMA