BERITA TERKINI   Intitusi pondok dan tahfiz perlu lakukan penyesuaian termasuk kuasai teknologi digital dan AI - PM Anwar | Kerajaan lulus RM34.81 juta tahun ini untuk laksana 137 projek pembaikan kecil pondok dan tahfiz di seluruh negara - PM Anwar | 

Keuntungan Bersih Gamuda Melonjak Kepada RM1 Bilion, Catat Tempahan Dalam Tangan RM38 Bilion

KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Keuntungan bersih dari tahun ke tarikh semasa, Gamuda Bhd telah melonjak sebanyak 10 peratus memcecah paras RM1 bilion untuk tahun kewangan berakhir 1 Julai 2025.

Kumpulan kejuruteraan dan hartanah serantau itu turut menyaksikan pendapatannya naik sebanyak 11 peratus kepada paras memecah rekod berjumlah RM16.4 bilion. 

Gamuda berkata pencapaian penting itu telah dipacu melalui projek pembinaan domestiknya yang kukuh, dengan baki tempahan dalam tangan pembinaan sepanjang masa yang tinggi sebanyak RM38 bilion selepas mencatatkan kejayaan dalam memperoleh kontrak-kontrak berjumlah RM25 bilion pada tahun kewangan 2025.

"Keseimbangan dalam tempahan dalam tangan yang belum pernah terjadi sebelum ini memberikan keterlihatan pendapatan dan kedudukan yang mantap kepada kumpulan untuk pertumbuhan yang berterusan dalam tahun-tahun akan datang," katanya menerusi satu kenyataan hari ini. 

Gamuda berkata projek pembinaan domestik merangkumi 50 peratus daripada tempahan dalam tangan, dengan pusat data menyumbang 10 peratus daripada jumlah nilai, mencerminkan fokus kumpulan terhadap pembangunan infrastruktur selepas margin keseluruhan pembinaan menjadi lebih baik.

Sementara itu, cabang hartanahnya, Gamuda Land melaporkan jualan sebanyak RM4.1 bilion, susut 19.0 peratus disebabkan oleh kelulusan projek Hanoi yang hanya diperolehi pada akhir tahun kewangan ini, dengan jualan yang berkaitan dijangka akan dibawa memasuki tahun kewangan 2026.

Menjelang suku keempat berakhir pada 31 Julai 2025, keuntungan bersih kumpulan menokok 22.0 peratus kepada RM332 juta berbanding RM272.0 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun kewangan 2024 selepas pendapatan pembinaan domestik melonjak dua kali ganda dan pendapatan hartanah menyaksikan kenaikan 68.0 peratus.

Bercakap mengenai prospek, kumpulan itu menjangkakan prestasi pendapatannya untuk tahun kewangan 2026 akan didorong oleh projek pembinaan domestik yang baru dianugerahkan dan sumbangan yang lebih tinggi dari pelbagai projek pemulihan yang cepat (QTP) seperti projek Eaton Park Vietnam.

"Daya tahan kumpulan juga disokong oleh jualan hartanah yang belum dibilkan sebanyak RM8 bilion," katanya lagi.

-- BERNAMA