BERITA TERKINI   Piala Malaysia: Sabah FC 0-3 Melaka FC | Pelancaran bantuan untuk pengguna buat keputusan, bantu individu rancang kewangan penjagaan kesihatan - JBMKKS | Hospital swasta layak mohon insentif cukai tubuhkan dana kebajikan bagi galakkan dan biayai perkhidmatan penjagaan kesihatan amal kepada pesakit kurang bernasib baik - JBMKKS | Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri untuk Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS) sokong inisiatif utama perluas akses dan pilihan penjagaan kesihatan | Pelantikan Arthur Joseph Kurup sebagai Pengerusi BN Sabah adalah bagi persediaan hadapi PRU16 - Ahmad Zahid | 

TIV Sektor Automotif Naik 4.2 Peratus Pada Ogos 2025

KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Jumlah keseluruhan industri (TIV) sektor automotif Malaysia mencatatkan peningkatan sebanyak 4.2 peratus kepada 73,041 unit pada Ogos daripada 70,101 unit pada Julai, menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA). 

MAA dalam satu kenyataan hari ini berkata TIV yang lebih tinggi disokong oleh ketersediaan stok yang lebih baik berikutan jumlah pengeluaran lebih tinggi pada Julai iaitu sebanyak 71,439 unit, promosi yang agresif bersempena dengan sambutan bulan kemerdekaan, dan kesan jualan daripada pelancaran model baharu.

Bagaimanapun, MAA berkata TIV tahun hingga kini (YTD) merosot empat peratus kepada 516,862 unit berbanding 537,532 unit bagi tempoh yang sama pada 2024. 

Pada asas tahun ke tahun, TIV Ogos 2025 susut satu peratus kepada 73,041 unit berbanding 72,580 unit pada Ogos tahun lepas, terdiri daripada 67,302 kenderaan penumpang dan 5,739 kenderaan komersial. 

Bagi pengeluaran pula, sebanyak 69,111 unit dikeluarkan berbanding 74,556 unit pada tahun sebelumnya, terdiri daripada 65,153 kenderaan penumpang dan 3,958 kenderaan komersial.

MAA berkata momentum jualan pada September 2025 dijangka akan disatukan susulan jumlah hari bekerja yang lebih sedikit, dengan empat cuti umum sepanjang bulan itu. 

Katanya, prestasi pada September juga akan dipengaruhi oleh pendirian ‘tunggu dan lihat’ menjelang pengumuman Belanjawan 2026, termasuk butiran mengenai rasionalisasi subsidi petrol.

-- BERNAMA