Hasil Perdagangan Bilateral Kazakhstan, Malaysia Melonjak Kepada US$1 Bilion
KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Hasil perdagangan dua hala Kazakhstan dan Malaysia dijangka melonjak kepada US$1 bilion (US$1 = RM4.19) secara tahunan dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.
Menteri Perdagangan dan Integrasi Kazakhstan Arman Shakkaliev berkata pada separuh pertama 2025, jumlah dagangan dua hala telah meningkat hampir 46 peratus, mencecah US$98.9 juta berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Eksport Kazakhstan ke Malaysia naik lebih daripada tiga kali ganda, mencapai paras US$2.8 juta, manakala import melebihi US$96.1 juta.
"Angka-angka ini menunjukkan kepentingan bersama komuniti perniagaan kami dan potensi untuk kerjasama selanjutnya," katanya kepada Bernama pada Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2025.
Shakkaliev berkata Kazakhstan secara tradisinya mengeksport bijih dan logam, arang batu termasuk produk kompleks agro-industri.
"Pada masa yang sama, minyak sawit, kopi dan teh, peralatan rumah serta elektronik kekal menjadi eksport utama Malaysia ke Kazakhstan.
"Ini mengesahkan kewujudan peluang yang luas untuk kepelbagaian selain memperdalam kerjasama," katanya.
Kazakhstan hari ini, mempunyai banyak peluang bagi memperluaskan bekalan barangan bukan sumber ke Malaysia dengan ketara.
"Kami melihat bidang yang menjanjikan dalam metalurgi, industri makanan, kejuruteraan mekanikal, sektor kimia, pengangkutan dan bahan binaan.
"Jumlah potensi eksport produk Kazakhstani ke Malaysia dianggarkan boleh melebihi US$30 juta," katanya.
Shakkaliev menyatakan bahawa Malaysia adalah salah satu rakan kongsi utama Kazakhstan di Asia Tenggara dan pintu masuk ke negara-negara ASEAN.
Pada acara MIHAS tersebut, beliau mengumumkan bahawa misi perdagangan dan ekonomi dari Kazakhstan ke Malaysia adalah sangat penting memandangkan ini pertama kali dibuat.
"Delegasi 20 syarikat Kazakhstan telah tiba di Kuala Lumpur, yang mewakili pelbagai produk seperti daging dan produk daging, madu semulajadi, tepung dan pasta, minyak sayuran, serbuk susu unta, minuman tanpa alkohol, produk dalam segmen penjagaan diri dan kosmetik, bahan kimia isi rumah serta tekstil.
"Komposisi sedemikian mencerminkan aspirasi Kazakhstan yang bukan sahaja mahu mengembangkan eksport bukan sumber tetapi penawaran barangan nilai tambah yang memenuhi permintaan yang semakin meningkat ke atas produk berkualiti tinggi dan mesra alam," kata beliau dalam ucaptamanya.
Shakkaliev memberitahu penyertaan Kazakhstan di MIHAS 2025 dicerminkan melalui pavilion kebangsaan negara itu yang menampilkan peluang untuk penawaran produk yang kompetitif selain mewujudkan perkongsian dengan pengimport, pengedar dan rantaian runcit Malaysia.
Sementara itu, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata kepentingan hubungan dua hala itu dipaparkan melalui prestasi perdagangan yang menggalakkan pada tahun lepas.
"Pada 2024, jumlah perdagangan Malaysia dengan Kazakhstan mencapai US$142.0 juta, peningkatan sebanyak 35.7 peratus. Eksport kami juga menyaksikan kenaikan 13.4 peratus kepada US$116.2 juta.
"Import dari Kazakhstan menunjukkan lonjakan yang ketara, dengan tambahan lebih dari 1,000 peratus mencecah paras US$25.8 juta," katanya.
Reezal Merican menegaskan oleh itu, dalam Asia Tengah, Kazakhstan amat menonjol sebagai rakan dagangan nombor satu Malaysia, destinasi eksport dan sumber import teratas, dengan jelas menggariskan peranan pentingnya sebagai rakan kongsi utama Malaysia di rantau ini.
"Bagi edisi MIHAS 2025, komitmen ini semakin jelas terbukti melalui penyertaan sembilan syarikat Kazakhstan dalam Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) MIHAS 2025.
"Selain itu, penglibatan 19 syarikat Kazakhstan sebagai peserta pameran MIHAS mencerminkan kesungguhan mereka untuk meneroka peluang perniagaan baharu dan memperluaskan kehadiran mereka dalam pasaran yang serba dinamik ini," katanya.
Acara hari ini turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara MATRADE dan Qaztrade, institut pembangunan kebangsaan Kazakhstan untuk mempromosikan eksport bukan sumber.
Perjanjian ini meletakkan asas yang kukuh bagi memperdalam fasilitasi perdagangan, berkongsi kecerdasan pasaran dan meningkatkan kerjasama antara komuniti perniagaan.
-- BERNAMA