BERITA TERKINI   PM Anwar akan mengadakan lawatan rasmi ke Ethiopia, Afrika Selatan dan Kenya dari 18-24 Nov ini - PMO | GRS menetapkan sasaran kutipan hasil negeri mencecah RM10 bilion menjelang 2030 - Armizan | Hasil Sabah melonjak kepada RM6.87 bilion pada tahun 2024 berbanding RM3.59 bilion pada 2020 di bawah pentadbiran kerajaan GRS - Armizan | PRN : GRS berikrar tubuh Sabah Sovereign Wealth Fund tahun depan jika diberi mandat - Armizan | Manifesto GRS dipacu empat rukun utama dan 16 strategi, tawar agenda pembangunan menyeluruh - Hajiji | 

CIMB Unjur Defisit Belanjawan Malaysia Pada Kadar 3.6 Peratus Daripada KDNK 2026

KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- CIMB Investment Bank Bhd mengunjurkan defisit belanjawan sebanyak 3.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 2026 dengan hasil kerajaan meningkat sebanyak empat peratus kepada RM353.3 bilion pada tahun yang sama.

Bank pelaburan itu berkata peningkatan hasil kepada RM353.3 bilion pada 2026 akan disokong oleh kutipan cukai yang lebih tinggi, diperkukuh oleh kesan penuh pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sepanjang tahun, e-invois serta pematuhan yang lebih ketat.

Selain itu, katanya, peningkatan hasil juga disokong dengan kemungkinan kenaikan cukai rokok, alkohol dan judi serta pelaksanaan secara berperingkat cukai karbon bagi besi, keluli selain tenaga.

“Pendapatan tambahan ini dijangka dapat mengimbangi hasil berkaitan minyak yang lebih lemah serta dividen Petroliam Nasional Bhd (Petronas) yang lebih rendah sejajar dengan harga minyak mentah yang kurang kukuh,” menurut bank berkenaan dalam nota penyelidikannya hari ini.

Sementara itu, perbelanjaan operasi kerajaan dijangka menokok sebanyak 3.9 peratus kepada RM348.1 bilion pada 2026 termasuk perbelanjaan bagi Fasa 2 penyesuaian gaji perkhidmatan awam pada Januari 2026 (RM8 bilion).

“Kami menjangkakan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) akan melonjak kepada RM17 bilion pada 2026 (2025: RM15 bilion).

"Penyesuaian tarif elektrik baru-baru ini juga dijangka menyumbang penjimatan fiskal memandangkan RM5.9 bilion dibelanjakan pada separuh pertama 2025,” tambahnya.

CIMB Investment Bank berkata perbelanjaan pembangunan dijangka sebanyak RM87 bilion (2025: RM86.0 bilion) yang mencerminkan komitmen berterusan terhadap keutamaan pertumbuhan.

“Ia juga berkata penjelasan mengenai Rangka Kerja Insentif Pelaburan Baharu yang pada awalnya dijadualkan pada suku ketiga 2025 dijangka diumumkan dalam Belanjawan 2026,” jelasnya.

Bank pelaburan itu menjangkakan pertumbuhan KDNK sebanyak 4.1 peratus pada 2026, disemak turun daripada 4.5 peratus bagi mengambil kira permintaan luar yang lebih lemah serta penggunaan dan perbelanjaan modal yang lebih perlahan.

-- BERNAMA