BERITA TERKINI   Ringgit diniagakan pada 3.9540 berbanding dolar AS pada rehat tengah hari | Setakat ini, Malaysia belum menerima notis atau pemberitahuan rasmi daripada AS mengenai garis masa untuk meratifikasi ART - Johari | MITI bersama agensinya, MATRADE dan MIDA dibantu oleh MIDF Research sedang melaksanakan analisis kos-faedah (CBA) bagi ART - Johari | Pelaksanaan projek Loji Janakuasa 120MW di Zon Perindustrian Rancha-Rancha pastikan kecukupan bekalan tenaga elektrik di Labuan - TPM Fadillah | Angka ekonomi positif berjaya memperkukuh kedudukan ringgit - PM Anwar | 

MBSB IB Jangka Pertumbuhan IPP Malaysia Sederhana Kepada 2.0 Peratus Pada 2025

KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- MBSB Investment Bank Bhd mengekalkan unjuran pertumbuhan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia kepada sederhana kira-kira 2.0 peratus tahun ini berbanding 3.7 peratus tahun lepas.

Bank pelaburan itu menerusi nota hari ini berkata unjuran berkenaan berikutan kemungkinan kesan tarif yang lebih tinggi ke atas perdagangan luar dan pengeluaran produk eksport.

“Aktiviti menambah belian lebih awal, peningkatan semula dalam eksport semula serta pertambahan permintaan domestik yang berterusan akan mengekalkan pertumbuhan IPP dalam kadar positif.

“Di peringkat domestik, kami menjangka peningkatan perbelanjaan tempatan dan aktiviti perniagaan dalam negeri akan terus merangsang pengeluaran barangan berorientasikan domestik,” katanya.

Bank pelaburan itu juga menjangka pengeluar dan pengeksport tempatan akan terus memantau risiko kelembapan permintaan luaran terutama daripada pasaran utama seperti Amerika Syarikat dan China, yang boleh menjejaskan aktiviti pengeluaran dan keputusan pengambilan pekerja mereka.

Terdahulu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan IPP bertambah baik kepada 4.2 peratus tahun ke tahun pada Julai 2025 selepas merekodkan pertumbuhan sederhana 2.9 peratus pada bulan sebelumnya.

-- BERNAMA