BERITA TERKINI   Belanjawan 2026 adalah langkah permulaan kepada Rancangan Malaysia Ke-13, yang melakar usaha pembangunan Malaysia dari 2026 hingga 2030 – Amir Hamzah | Belanjawan 2026 bakal mengukuhkan perlindungan sosial, daya tahan isi rumah dengan pelaburan menumpukan kepada semikonduktor, peralihan tenaga, pendigitalan dan syarikat pemula niaga - Amir Hamzah | 

Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatif ditutup lebih rendah hari ini para peniaga bimbang terhadap kadar eksport yang lemah berikutan laporan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menunjukkan prestasi eksport Ogos yang kurang memberangsangkan.

Pedagang minyak sawit David Ng berkata penurunan dalam harga minyak kacang soya juga telah menjejaskan sentimen pasaran. 

"Kami melihat sokongan pada paras RM4,350 dan rintangan pada RM4,520 setan," katanya kepada Bernama.

MPOB melaporkan bahawa eksport minyak sawit negara menurun sebanyak 0.29 peratus atau 1.32 juta tan pada bulan lepas berbanding dengan 1.33 juta tan semasa bulan sebelumnya.

Bagaimanapun, pengeluaran MSM Malaysia melonjak 2.35 peratus dari bulan ke bulan kepada 1.1.86 juta tan pada Ogos daripada 1.81 juta tan yang disaksikan pada Julai lepas.

Pada penutup, kontrak bulan semerta September 2025 turun RM48 kepada RM4,340, Oktober 2025 susut RM62 kepada RM4,372, manakala November 2025 serta Disember 2025, masing-masing  jatuh kepada RM4,413 dan RM4,446.

Sementara itu, kontrak Januari 2026 merosot sebanyak RM62 kepada RM4,463 dan Februari 2026 berkurangan sebanyak RM62 kepada RM4,459.

Jumlah dagangan naik kepada 87,050 lot berbanding 46,854 yang dicatatkan semalam, manakala kepentingan terbuka berkembang kepada 254,559 kontrak daripada 252,265 sebelum ini.

Harga MSM fizikal untuk September Selatan adalah RM10 lebih rendah kepada RM4,390 setan.

-- BERNAMA