BERITA TERKINI   MB Johor nafi desas-desus pembubaran DUN berlaku hari ini | Wartawan perlu dibenarkan bekerja secara profesional dengan pendekatan lebih berhemah oleh pihak berkuasa - Teo Nie Ching | Pihak berkuasa harus mengutamakan dialog berbanding penahanan dan menyelesaikan pertikaian melalui Majlis Media Malaysia untuk menambah baik perundangan kewartawanan -Teo Nie Ching | Forum Media HAWANA penting, memberi ruang untuk mencorakkan masa depan kewartawanan - Teo Nie Ching | Tabung Kasih@HAWANA beri manfaat kepada 728 pengamal media, jumlah sumbangan sebanyak RM1.94 juta setakat 30 April 2026 - Teo Nie Ching | 

EU Iktiraf MSPO Sebagai Piawaian Diyakini Bagi Pematuhan EUDR

KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Kesatuan Eropah (EU) secara rasmi mengiktiraf pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) sebagai piawaian kemampanan yang boleh dipercayai dengan sistem kebolehkesanan digital berstandard tinggi yang dapat membantu pengendali mematuhi Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan EU (EUDR).

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata pengiktirafan itu mengesahkan kepimpinan Malaysia dalam minyak sawit mampan memandangkan MSPO memberikan jaminan mengenai aspek perundangan, pematuhan tarikh penetapan dan kebolehkesanan digital, di samping memastikan lebih setengah juta pekebun kecil dilibatkan sepenuhnya dalam agenda kemampanan.

“Pengiktirafan EU itu juga menekankan kredibiliti MSPO sebagai satu piawaian yang diyakini dan bersedia untuk masa hadapan.

“Ia memberi jaminan kepada pembeli global bahawa minyak sawit Malaysia diperoleh secara sah, boleh dijejaki dan mampan, berteraskan mata pencarian pekebun kecil serta disokong oleh rangka kerja nasional yang mandatori,” katanya dalam satu kenyataan.

Pengiktirafan itu telah dimuktamadkan dalam kenyataan bersama EU-Malaysia bertajuk “EU dan Malaysia Bersetuju Memperkukuh Perkongsian dan Meneruskan Usaha Bersama Menangani Penebangan Hutan,” yang dikeluarkan susulan lawatan Pesuruhjaya Eropah bagi Alam Sekitar, Ketahanan Air dan Ekonomi Kitaran Berdaya Saing, Jessika Roswall ke Malaysia pada 5 Ogos, 2025.

Pensijilan MSPO yang diaudit oleh badan pihak ketiga yang bebas, merupakan piawaian mandatori yang merangkumi seluruh rantaian nilai minyak sawit, daripada pekebun kecil dan penanam hinggalah kepada kilang, peniaga dan pemproses.

Memandangkan keperluan kemampanan global yang semakin ketat, pensijilan ini menawarkan rangka kerja yang kukuh dan boleh diskalakan untuk penyumberan yang bertanggungjawab. Dengan menggabungkan aspek perundangan, tarikh penetapan bebas penebangan hutan yang ketat dan kebolehkesanan lanjutan, MSPO menyokong pematuhan pengendali terhadap EUDR dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai dalam perdagangan global yang mampan, kata MSPO.

Ia juga memastikan aspek perundangan, ketelusan, keterangkuman dan akauntabiliti di setiap peringkat, menyelaraskan pengeluaran dengan keperluan pasaran antarabangsa dan menjamin integriti dan kredibiliti.

“Berteraskan tarikh penetapan ketat pada 31 Disember, 2019 yang melarang sebarang penebangan hutan bagi tujuan pensijilan, MSPO memberi keyakinan kepada pembeli dan pengawal selia bahawa minyak sawit yang diperakui diperoleh secara sah dan bebas daripada penebangan hutan.

“Dengan sistem kebolehkesanan digital berstandard tinggi, MSPO membolehkan keterlihatan penuh rantaian bekalan dan mengukuhkan kepercayaan dalam kalangan pemegang kepentingan global,” tambahnya.

MSPO merupakan badan yang disokong kerajaan, ditubuhkan untuk melaksanakan dan menyelia Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia.

-- BERNAMA