BERITA TERKINI   Sukan Para ASEAN Malaysia akan berlangsung pada 17 hingga 23 Okt 2027 - Hannah Yeoh | Sukan SEA Malaysia 2027 akan berlangsung pada 18 hingga 29 Sept 2027 - Hannah Yeoh | N. Sembilan beri bantuan khas kewangan maksimum tiga bulan gaji dan minimum dua bulan gaji kepada penjawat awam negeri tahun depan - MB | Orang ramai diingatkan buat perancangan bersesuaian hadapi MTL yang dijangka berlaku di beberapa negeri - Fahmi | Jemaah Menteri zahir ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Bung Moktar - Fahmi | 

Loji Fosfat Cahya Mata Hampir Beroperasi Sepenuhnya Selepas Bekalan Elektrik Dipulihkan 

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Cahya Mata Sarawak Bhd mengumumkan bekalan elektrik ke kompleks fosfatnya di Taman Perindustrian Samalaju, Bintulu, Sarawak, telah dipulihkan hari ini, membolehkan aktiviti penyediaan loji disambung semula.

Kompleks fosfat seluas 142 hektar itu dioperasikan oleh anak syarikat milik penuhnya, Cahya Mata Phosphates Industries Sdn Bhd, yang mengeluarkan fosforus kuning (YP), asid fosforik gred teknikal (TPA) dan asid fosforik gred makanan (FGA) dengan tahap ketulenan 99.9 peratus.

Pengarah Urusan Kumpulan Cahya Mata Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Taib berkata penyambungan semula bekalan elektrik ke kompleks fosfat menandakan satu langkah penting ke arah pengkomersialan operasi.

“Projek ini akan membantu Malaysia merealisasikan loji fosfat pertamanya, meningkatkan keselamatan makanan di dalam negara dan membina daya tahan merentas rantaian bekalan serantau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Loji itu yang dikuasakan terutamanya oleh tenaga hidro boleh baharu Sarawak, akan memulakan semula operasi melalui peningkatan berperingkat dan dijangka mencapai kapasiti penuh pada separuh pertama 2026 setelah memenuhi semua piawaian keselamatan, kualiti dan prestasi.

YP disasarkan untuk kegunaan domestik dan eksport ke Jepun, Korea Selatan, India, Taiwan dan Eropah, manakala TPA dan FGA akan meliputi pasaran tempatan serta Thailand, Jepun dan Indonesia.

Terletak secara strategik untuk memenuhi permintaan domestik dan pasaran eksport serantau, kemudahan itu akan menghasilkan 48,000 tan YP, 75,000 tan TPA dan 60,000 tan FGA setiap tahun apabila beroperasi pada kapasiti penuh.

-- BERNAMA