BERITA TERKINI   Keputusan peperiksaan STAM diumum 5 Feb - KPM  | Bangunan warisan mesti terus hidup sebagai ruang mendidik, menyatukan dan beri inspirasi untuk generasi masa hadapan - PM Anwar | 3,164 sekolah diklasifikasikan sebagai sekolah kurang murid setakat November tahun lepas - Timbalan Menteri Pendidikan | Pemuliharaan Bangunan Sultan Abdul Samad pastikan sejarah terus hidup, difahami dan jadi pedoman hadapi cabaran masa depan - PM Anwar | Agong berkenan sempurnakan Pemuliharaan Bangunan Sultan Abdul Samad Fasa 1 | 

Yinson Production, Syarikat Norway Bangun Perkhidmatan Perangkap Karbon Di Eropah

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Unit penyelesaian tenaga luar pesisir dan pengeluaran, penyimpanan serta pemunggahan terapung (FPSO) milik Yinson Holdings Bhd iaitu Yinson Production memeterai perjanjian kerjasama dengan syarikat Norway, Carbon Circle AS.

Perjanjian kerjasama itu bagi membangunkan projek pemerangkapan karbon di Eropah.

Dalam kenyataan bersama hari ini, kedua-dua pihak berkata perjanjian berkenaan akan memberi tumpuan kepada pembangunan pemerangkapan karbon sebagai perkhidmatan (CCaaS) bagi pihak industri yang menghasilkan pelepasan karbon di rantau tersebut.

“Menerusi kerjasama ini, matlamatnya untuk memerangkap karbon dioksida daripada proses kimia dan pembakaran untuk dihantar dan disimpan secara kekal dalam simpanan geologi sekali gus menyokong pihak industri dalam usaha penyahkarbonan mereka serta menyumbang kepada matlamat kelestarian serantau dan global,” kata kenyataan itu.

Mereka berkata, kerjasama ini dibina berasaskan kejayaan pelaksanaan unit pemerangkapan karbon pasca pembakaran luar pesisir pertama di dunia yang dipasang pada FPSO Agogo milik Yinson Production di Angola.

Sementara itu, Ketua Pegawai Teknikal Yinson Production Lars Gunnar Vogt berkata kerjasama berkenaan selaras dengan usaha lebih meluas syarikat dalam rantaian nilai pemerangkapan dan penyimpanan karbon (CCS).

“Bersama-sama, kami meneroka batas baharu untuk menjadikan pengurangan karbon sesuatu yang boleh diskalakan, dapat dicapai dan memberi impak yang bermakna kepada alam sekitar,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Carbon Circle Geir Otto Amundsen menyifatkan Yinson Production sebagai rakan kerjasama semula jadi dalam segmen CCS.

“Berdasarkan pengalaman yang diperoleh daripada projek CCS Agogo, perjanjian kerjasama ini merupakan satu pencapaian penting yang membuka ruang untuk kerjasama berterusan dan kejayaan pada masa hadapan,” tambahnya.

--BERNAMA