PayNet Teroka Model AI Bersekutu, Perkukuh Pengesanan Fraud Dalam Pembayaran Digital
Oleh K.Naveen Prabu
KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) sedang meneroka pembangunan model kecerdasan buatan (AI) bersekutu, yang diberi nama sementara FinancialGPT, untuk meningkatkan pengesanan penipuan dan memperkukuh keselamatan pembayaran digital.
Dalam temu bual eksklusif bersama Bernama, Ketua Kakitangan PayNet Dr Endry Lim Zhen Wen berkata model transaksi besar (LTM) itu akan dilatih sepenuhnya menggunakan data transaksi kewangan Malaysia bagi meningkatkan daya tahan terhadap ancaman siber.
“Kami percaya model ini akan menangani isu fraud dan penipuan, memastikan keterangkuman kewangan yang lebih meluas, dan menyelesaikan cabaran pematuhan yang khusus bagi pasaran kita di samping mengelakkan data sensitif diceroboh oleh pihak asing.
“Model ini menggabungkan amalan terbaik dunia dan kedaulatan negara, menjadikannya unik dan sangat sesuai dengan keperluan Malaysia,” katanya.
Beliau berkata PayNet masih berada pada peringkat awal dalam usaha itu dan sedang membina keupayaanya secara berperingkat.
“Kami mahu setiap model yang kami teroka melalui semakan yang ketat dari segi kebolehfahaman, kecenderungan dan keadilan kerana kebertanggungjawapan adalah sesuatu yang tidak boleh dikompromi.
“PayNet tidak melakukan usaha ini secara sendirian. Kami sedang aktif bekerjasama dengan penyelidik terkemuka di institusi global yang dihormati seperti MIT CSAIL dan Imperial College London dalam isu-isu terkini termasuk risiko siber, privasi data dan tadbir urus AI,” katanya.
Akses kepada penyelidikan terkini disediakan menerusi kerjasama itu di samping memastikan pendekatan PayNet kekal sejajar dengan konteks dan rangka kerja kawal selia Malaysia.
Lim berkata usaha Malaysia untuk membangun sebagai hab AI bergantung kepada dua cabaran utama -- membina bakat dan memupuk kepercayaan awam.
“Industri menghadapi kekurangan profesional AI dan sains data yang berkemahiran, terutama mereka yang berpengalaman dalam perkhidmatan kewangan, dan ini mengehadkan pelaksanaan penyelesaian AI yang selamat, inovatif dan adil secara besar-besaran.
“Kepercayaan awam pula bergantung kepada ketelusan dan kebertanggungjawapan, terutama dalam kewangan kerana perlindungan pelanggan dan daya tahan sistem adalah penting,” katanya.
Beliau berkata peraturan semata-mata tidak mencukupi untuk mengatasi cabaran itu, dan kemajuan sebenar memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, industri dan akademia.
Peranan Malaysia dalam menerajui Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) meletakkan PayNet pada kedudukan penting untuk membantu mentransformasikan pembayaran digital rentas sempadan kepada ekosistem yang lancar, inklusif dan selamat, katanya.
“Visi DEFA untuk sistem pembayaran masa nyata dan pelbagai mata wang menjanjikan pengurangan kos transaksi, mempercepat penyelesaian dan meningkatkan kecekapan pembayaran secara keseluruhan di seluruh rantau ini.
“Ini bukan sahaja akan merangsang pertumbuhan ekonomi malah juga dijangka mengembangkan ekonomi digital ASEAN kepada anggaran US$2 trilion menjelang 2030,” katanya (US$1=RM4.20).
-- BERNAMA