BERITA TERKINI   430 motosikal Honda model CMX500A dan CBR650RAC dipanggil semula bermula 25 Mei berikutan isu teknikal - JPJ | 430 motosikal Honda model CMX500A dan CBR650RAC dipanggil semula mula 25 Mei berikutan isu teknikal - JPJ | Proses peralihan, penukaran MyKad Struktur Baharu tidak ganggu proses penebusan bantuan kerajaan termasuk SARA, BUDI95 - JPN  | Harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia turun 30 sen kepada RM4.87 sen seliter bagi tempoh 14 hingga 20 Mei 2026 - Kementerian Kewangan | RON95 turun 15 sen kepada RM3.87 seliter berbanding RM4.02 bagi tempoh 14 Mei hingga 20 Mei ini  - MOF | 

Kerajaan Pada Peringkat Akhir Muktamadkan Kriteria Kelayakan Subsidi RON95 - Amir Hamzah 

KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Kerajaan kini pada peringkat akhir untuk memuktamadkan kriteria kelayakan dan kaedah pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 bersama pihak berkepentingan, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 dirangka dengan teliti bagi memastikan majoriti rakyat yang layak tidak terjejas.

“Kerajaan turut bekerjasama dengan syarikat stesen minyak untuk memastikan sistem bayaran menggunakan MyKad dapat digunakan ketika membuat pengisian bahan api sebaik sahaja (penyasaran) subsidi RON95 dilaksanakan akhir bulan ini,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Rose Suryati Alang mengenai pendekatan terkini yang diambil bagi subsidi minyak dan kelancaran pelaksanaannya.

Amir Hamzah, yang turut menjalankan tugas dan fungsi Menteri Ekonomi berkata kerajaan akan menggunakan sistem PADU untuk menentukan kelayakan agar hanya mereka yang benar-benar layak menerima manfaat subsidi.

“Kita akan umumkan dan laksanakan pada akhir bulan ini dengan jaminan bahawa rakyat yang layak akan menerima subsidi seperti sepatutnya,” katanya.

-- BERNAMA