BERITA TERKINI   Liga Super: PDRM FC 1-3 Selangor FC | Liga Super: Terengganu FC 1-3 Sabah FC | 

Niaga Hadapan FBM KLCI Dijangka Diniagakan Dalam Jajaran Kecil Minggu Depan

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 6 Sept (Bernama) --  Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dalam jajaran kecil minggu depan, seiring dengan prestasi di pasaran tunai pendasar.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata, pasaran kini berada dalam fasa penstabilan ketika para pelabur menunggu pemangkin baharu untuk menentukan hala tuju pasaran.

“Indeks petunjuk pasaran itu berlegar antara paras 1,570 dan 1,580 sepanjang minggu ini, berada dalam fasa stabil apabila ketiadaan pemangkin baharu dan aliran keluar asing yang berterusan telah mengehadkan momentum menaik.

"Kami menjangkakan indeks bergerak dalam jajaran 1,570–1,600 minggu depan, mencerminkan tahap sokongan dan rintangannya," katanya kepada Bernama.

Pada asas mingguan, bulan semerta September 2025 naik 8.5 mata kepada 1,556.5, Oktober 2025 berada pada 1,553.5, Disember 2025 menambah 3.5 mata kepada 1,548.5 dan Mac 2026 meningkat 5.5 mata kepada 1,530.0.

Jumlah dagangan dalam minggu yang baru berakhir ini merosot kepada 14,374 lot daripada 197,242 lot pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka turun kepada 38,740 kontrak daripada 62,312 kontrak.

Bagi asas mingguan, FBM KLCI meningkat 3.03 mata kepada 1,578.15 pada Khamis daripada 1,575.12 pada Jumaat minggu sebelumnya.

Pasaran ditutup pada Jumaat minggu ini sempena cuti umum Hari Maulidur Rasul. 

-- BERNAMA