BERITA TERKINI   Ringgit susut kepada 3.9620/9670 berbanding dolar AS daripada 3.9530/9585 pada Selasa | MIC kekal bersama Barisan Nasional, tidak sertai Perikatan susulan perubahan kepimpinan - Saravanan | JPA diarah rangka program tingkat profesionalisme PDRM, kebajikan jadi keutamaan termasuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi - PM Anwar | Kerajaan beri jaminan tidak campur tangan dalam tugas PDRM, akan beri dorongan untuk bertindak terus dengan berani - PM Anwar | Perolehan KDN yang dibekukan sebelum ini kini dilepaskan semula - PM Anwar | 

RMK13 Tumpu Kurangkan Jurang Wilayah, Peruntuk RM93.9 Bilion Untuk Negeri Kurang Membangun

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) menetapkan hala tuju pembangunan ekonomi negara dengan memberi tumpuan kepada pengurangan jurang wilayah serta pelaburan strategik, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Justeru, katanya, peruntukan keseluruhan yang dianggarkan berjumlah RM93.9 bilion akan disalurkan bagi membangunkan negeri-negeri kurang membangun. 

Amir Hamzah berkata, peruntukan itu akan digunakan untuk membina infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air bersih, elektrik dan capaian internet yang diyakini mampu merancakkan aktiviti ekonomi setempat.

“Sebanyak 2,800 kilometer jalan luar bandar akan dibina di bawah RMK13 dan 70 peratus daripadanya akan dilaksanakan di negeri kurang membangun,” katanya ketika menggulung perbahasan usul RMK13 di Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata, pembangunan wilayah akan turut diperkukuh melalui projek berimpak tinggi seperti Kedah Rubber City,  Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ) Bukit Kayu Hitam, Perlis Inland Port, Taman Teknologi Tinggi Kulim, Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian dan Bandar Perindustrian Maritim.

Menurutnya, negeri di wilayah pantai timur seperti Kelantan, Pahang dan Terengganu disasarkan sebagai jajaran hab pengeluaran makanan utama, manakala Sarawak diberi peranan memperkasa pembangunan tenaga berasaskan hidro dan teknologi hidrogen.

"Dalam tempoh RMK13, sasaran nilai pelaburan yang ingin direalisasi oleh pihak berkuasa koridor adalah sebanyak RM75 bilion dan mewujudkan RM50,000 peluang pekerja mahir," katanya.

Sementara itu, Amir Hamzah berkata, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JSEZ) berjaya menarik komitmen pelaburan berjumlah RM1.34 bilion setakat ini, dengan tambahan minat bernilai RM75 juta yang masih dalam fasa rundingan melibatkan 70 syarikat dari Belanda, China, Jerman, Singapura dan United Kingdom serta pelabur tempatan. 

-- BERNAMA