BERITA TERKINI   ASEAN perlu mempercepat peralihan tenaga melalui Rangka Kerja Karbon Bersama, Inisiatif Grid Tenaga - Prabowo | Prabowo gesa ASEAN memanfaatkan potensi RCEP bagi mengukuhkan daya tahan serantau dan mempromosikan perdagangan berasaskan peraturan merentasi Indo-Pasifik | Australia melihat potensi pelaburan masa depan sekurang-kurangnya bernilai AU$20 bilion yang telah dikenal pasti di Asia Tenggara - Anthony Albanese | Perdagangan dua hala Australia dengan Asia Tenggara mencapai rekod tertinggi pada 2024, meningkat hampir AU$6 bilion, manakala pelaburan turut meningkat sekitar AU$2 bilion - Anthony Albanese | Insights Analytics Bhd mula disenaraikan di Pasaran ACE pada 62 sen dengan premium 26 sen daripada harga IPO 36 sen, dengan 33.46 juta saham diniagakan | 

Pindaan Ordinan Elektrik Sarawak Buka Potensi Projek Penjanaan Baharu

KUCHING, 3 Sept (Bernama) -- Pindaan Ordinan Elektrik Sarawak baru-baru ini menandakan titik perubahan besar untuk sektor tenaga negeri, kata Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Seri Julaihi Narawi.

Beliau berkata pindaan itu memperkenalkan prosedur yang lebih jelas, diperkemaskan lagi dan insentif-insentif yang baik, mewujudkan kepastian kawal selia yang menarik minat pengeluar tenaga bebas dan menggalakkan pelaburan sektor swasta.

"Melalui pindaan ini, kami membuka potensi untuk projek-projek penjanaan baharu, termasuk penyelesaian tenaga boleh baharu dan hibrid untuk beroperasi dengan lebih pantas dan telus, sekali gus menyumbang kepada pasaran tenaga yang lebih dinamik.

"Dengan memupuk persekitaran yang menggalakkan inovasi, mempercepatkan penyerahan projek dan mengalu-alukan penyertaan sektor swasta, kami memperkukuh tulang belakang ekonomi kami – bekalan tenaga yang boleh dipercayai, mampan dan mampu milik," kata beliau di majlis perasmian Sustainability and Renewable Energy Forum (SAREF 4.0) yang dirasmikan oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sini hari ini.

Julaihi berkata asas tenaga yang kukuh ini amat penting untuk memacu pertumbuhan industri, menarik pelaburan asing dan akhirnya meningkatkan kualiti hidup bagi semua rakyat Sarawak.

Beliau juga mengulangi komitmen berterusan kerajaan negeri terhadap elektrifikasi luar bandar dan pengembangan grid, sambil menyatakan setiap projek memainkan peranan penting dalam membina daya tahan ekonomi dan pertumbuhan mampan.

"Kami bukan sahaja membina untuk hari ini, tetapi meletakkan asas yang kukuh untuk masa depan dan kami berharap dapat berkongsi kemajuan kami dengan jiran serantau," tambah beliau.

Sementara itu, Pengerusi Sarawak Energy Datuk Ibrahim Baki berkata Sarawak sedang memacu kerjasama serantau melalui Grid Borneo, dengan projek-projek kuasa hidro yang berkembang merentas sempadan negara, menghubungkan Sabah, Kalimantan dan Brunei.

"Kami juga menyediakan asas untuk merealisasikan Grid Tenaga ASEAN yang benar-benar saling berkait, dijana oleh tenaga boleh baharu. Dengan berkongsi tenaga bersih, kami boleh mengembangkan ekonomi sambil bersama-sama mengurangkan pelepasan karbon," katanya.

Beliau menambah SAREF 4.0 merupakan sebahagian daripada program rasmi Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 yang menekankan peranan penting Sarawak dalam memajukan kerjasama serantau.

-- BERNAMA