BERITA TERKINI   Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim dilantik Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian berkuat kuasa 1 Jan 2026 hingga 31 Dis 2028 - Azalina | Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian ditubuh bagi memandu hala tuju keselamatan dalam talian negara - Azalina | Pelabuhan Tanjung Pelepas catat peningkatan 14 peratus pengendalian kontena kepada 14.03 juta TEUs pada 2025, menjadi terminal kontena pertama di Malaysia lepasi paras 14 juta TEUs | Pelabuhan Klang catat peningkatan jumlah pengendalian kontena sebanyak 3.4 peratus kepada 15.14 juta TEUs pada 2025, berbanding 14.64 juta TEUs pada 2024 | Permohonan fasa satu Dana Inovasi Media dibuka bermula 1 hingga 14 Jan ini - Kementerian Komunikasi | 

Kerajaan Tidak Kompromi Isu Halal, Hanya Iktiraf Sijil AS Patuh Piawaian JAKIM

KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Kerajaan tidak berkompromi dalam isu standard halal tetapi memudah cara kemasukan daging dan produk daging serta unggas dan produk unggas ke Malaysia dengan mengiktiraf sijil halal yang dikeluarkan oleh badan pensijilan halal Amerika Syarikat (AS) yang mematuhi standard halal yang ditetapkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menjelaskan penawaran Malaysia lebih berbentuk memudah cara proses kemasukan import barangan AS ke Malaysia. 

"Komitmen yang dipersetujui dalam rundingan ini secara langsung dapat memberi peluang kepada kerajaan untuk menilai semula dasar, proses serta prosedur yang lapuk, bertindih atau tidak relevan lagi supaya penambahbaikan dapat dilaksanakan. 

"Langkah-langkah penambahbaikan akan mempertingkatkan kemudahan menjalankan perniagaan, produktiviti dan inovasi yang menjadikan Malaysia lebih berdaya saing dan destinasi pelaburan utama di rantau ini,” menurut kementerian itu dalam jawapan Dewan Negara yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

MITI menjawab soalan Senator Datuk Dr Mohd Hatta Ramli mengenai perancangan kementerian dalam memastikan kepentingan Malaysia terpelihara dalam rundingan tarif dengan AS khususnya penglibatan bumiputera dan sektor halal.

Kementerian itu turut memaklumkan semasa Sesi Penerangan mengenai Status Terkini Rundingan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas dengan AS di Dewan Rakyat pada 4 Ogos, 2025, menterinya mengulangi komitmen Malaysia untuk memudah cara perdagangan dan pelaburan dengan AS di samping memelihara kepentingan rakyat.

“Kerajaan tidak melonggarkan sebarang kawalan dan syarat yang akan menjejaskan hak rakyat dan kelangsungan industri tempatan dengan mempertahankan garis merah serta tidak menawar atau bersetuju sewenang-wenangnya dengan permintaan AS,” jelas MITI.

MITI sedang membuat tindakan susulan dengan pentadbiran AS berkenaan dengan langkah seterusnya yang perlu diambil untuk memeterai dokumen perjanjian yang akan ditandatangani oleh kedua-dua negara kelak.

Kementerian itu juga terus memantau perkembangan semasa dan pelaksanaan tarif timbal balas serta merangka strategi yang bersesuaian untuk mengurangkan impak kepada industri tempatan serta memastikan kestabilan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

-- BERNAMA