BERITA TERKINI   Ketika Parlimen bersedia untuk mempertimbangkan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara, peralihan itu akan teratur, berasaskan bukti dan berpaksikan kepentingan negara - PM Anwar | Pengukuhan ringgit mencerminkan keyakinan terhadap institusi, hala tuju dasar dan kepercayaan bahawa negara ditadbir dengan disiplin dan matlamat yang jelas - PM Anwar | Keyakinan pelaburan kembali meningkat selepas Malaysia berada pada kedudukan lebih kukuh, dengan KDNK dijangka berkembang dan inflasi terkawal - PM Anwar | Keyakinan pelaburan kembali meningkat apabila Malaysia berada pada asas lebih kukuh, dengan KDNK di landasan untuk berkembang dan inflasi terkawal - PM Anwar | Malaysia akan terus berada pada trajektori pertumbuhan positif -- pertumbuhan berdaya tahan, inklusif dan ditadbir dengan integriti - PM Anwar | 

Perolehan Eksport Koko Cecah Lebih RM9 Bilion Setakat Jun - Lembaga Koko Malaysia

TELUK INTAN, 30 Ogos (Bernama) -- Perolehan eksport koko sepanjang enam bulan pertama tahun ini mencecah RM9.69 bilion, kata Ketua Pengarah Lembaga Koko Malaysia (LKM) Datuk Dr Ramle Kasin.

Beliau berkata pencapaian tersebut berikutan permintaan yang tinggi dari luar negara dan harga produk koko ketika ini berada pada paras memberangsangkan.

“Antara pengimport utama yang menyumbang ialah Amerika Syarikat, Singapura, Jepun serta Indonesia.

“Kita menjangkakan perolehan eksport mampu mencecah sehingga RM15 bilion menjelang akhir tahun ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan penutupan Program Kursus Pelatih Super Koko Siri Ketiga Wilayah Semenanjung di sini hari ini.

Ramle berkata setakat ini, hampir 100 peserta terdiri daripada masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malaysua terlibat dalam penanaman koko.

"Penyertaan Orang Asli ini sangat konsisten dan serasi dengan budaya serta cara hidup dan mereka menjadi antara penyumbang pengeluaran koko. LKM turut menyediakan pelbagai pemberian insentif dan bantuan kepada masyarakat Orang Asli seperti baja, racun perosak selain menyediakan kursus berkaitan penanaman koko," katanya.

Terdahulu, Ramle dalam ucapannya berkata purata harga biji koko kering telah meningkat sebanyak 141 peratus kepada RM24,274 per tan metrik pada tahun lepas berbanding RM10,073 pada tahun sebelumnya.

"Dalam masa yang sama, permintaan terhadap koko berkualiti tinggi terus meningkat di pasaran antarabangsa. Perkembangan ini membuka peluang baharu untuk Malaysia menilai semula potensi koko sebagai salah satu komoditi strategik negara," katanya.

-- BERNAMA