BERITA TERKINI   Bursa sasar permodalan pasaran IPO RM28 bilion tahun ini daripada RM27.4 bilion pada 2025 dengan tumpuan kepada penyenaraian yang lebih besar dan berkualiti tinggi - Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia | Kerajaan sedang gubal Akta Keterjaminan Makanan Negara, asas perundangan kukuh pelihara kedaulatan makanan - TPM Fadillah | Dasar Keterjaminan Makanan Negara (DKMN) 2030 pacu transformasi sektor agromakanan negara - TPM Fadillah | RM254 juta diperuntukkan bagi program pembangunan koperasi tahun ini, tertinggi sejak penubuhan gerakan koperasi pada 1922 - Steven Sim. | 

Syarikat Malaysia-Indonesia Kukuh Hubungan Niaga, Sasar Projek Makanan Percuma

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 29 Ogos (Bernama) -- Syarikat Malaysia, Bahtera Hijrah Holding Sdn Bhd (Hijrah Group) dan syarikat tempatan PT LBP Enterprises International memeterai kerjasama strategik bagi meneroka peluang perniagaan rentas sempadan, termasuk pembangunan dapur untuk Program Makanan Bergizi Gratis (MBG) di Indonesia. 

Hijrah Group aktif dalam sektor teknologi, tenaga, kewangan, dan makanan halal, manakala LBP Enterprises terlibat dalam tenaga boleh baharu, pembinaan, maritim, perladangan, dan kewangan.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Hijrah Group Zulfitri Basir dan pengasas LBP Enterprises Lucky Bayu Purnomo, di Jakarta Selatan pada Rabu.

“Memandangkan keadaan ekonomi global dan kemelesetan pasca Covid, kami melihat potensi kerjasama dalam beberapa sektor termasuk Fast-Moving Consumer Goods,” kata Zulfitri pada satu sidang media.

Lucky pula berkata kerjasama itu akan memberi tumpuan kepada pelaburan dan penyelesaian kewangan hibrid serta fleksibel untuk mewujudkan nilai tambah.

“Antara projek berpotensi ialah Program MBG iaitu inisiatif kerajaan Indonesia menyediakan makanan percuma kepada kanak-kanak, bayi, dan wanita hamil untuk menangani masalah kekurangan zat,” katanya.

Walaupun kos makanan ditanggung oleh pemerintah, beliau menjelaskan infrastruktur dapur diselia oleh Unit Perkhidmatan Pemenuhan Nutrisi dan Badan Gizi Nasional, melalui perkongsian awam-swasta.

Usahasama Hijrah Group dan LBP Enterprises dirancang melalui Hijrah Infra & Development Sdn Bhd dan Garuda Ventrue Capital menyasarkan pembinaan 1,000 dapur MBG, tanpa terlibat dalam operasi harian.

Ketua Pegawai Eksekutif Garuda Ventrue Capital, Denia Yuniarti Abdussamad berkata fasa awal merangkumi pembangunan 100 dapur, dengan kos sekitar 1.75 bilion rupiah (sekitar US$105,000) setiap satu, dibiayai daripada sumber dalaman dan pinjaman.

Katanya, setiap dapur MBG mampu menyediakan makanan kepada 3,000 hingga 3,500 penerima dalam radius enam kilometer untuk sarapan dan makan tengah hari.

-- BERNAMA