BERITA TERKINI   Polis jangka sebanyak 2.1 juta kenderaan akan berada di atas jalan raya sempena cuti Deepavali bermula 18 Okt ini - Pengarah JSPT Bukit Aman | Ops Lancar sempena sambutan Deepavali akan dilaksanakan bermula 17 hingga 21 Okt - Pengarah JSPT Bukit Aman | Op Lancar sempena sambutan Deepavali akan dilaksanakan polis bermula 17 hingga 21 Okt ini - Pengarah JSPT Bukit Aman | Akta Perkhidmatan Pos 2012 akan dipinda, pastikan ekosistem lebih lestari, jamin kebajikan pekerja - Fahmi | Dana Perkhidmatan Pos inisiatif strategik, sokong transformasi sektor pos agar kekal relevan, mampan dan berdaya saing - Fahmi | 

RHB Bank Catat Untung Bersih Lebih Tinggi Berjumlah RM803.50 Juta Pada Suku Kedua 2025

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Keuntungan bersih RHB Bank Bhd bagi suku kedua berakhir 30 Jun, 2025 melonjak 11.2 peratus kepada RM803.50 juta berbanding RM722.31 juta yang dicatatkan pada suku yang sama setahun lepas.

Hasil menokok kepada RM4.50 bilion pada suku dalam tinjauan daripada RM4.42 bilion sebelum itu, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Bagi separuh pertama 2025, keuntungan bersih kumpulan naik tujuh peratus kepada RM1.55 bilion daripada  RM1.45 bilion, manakala hasil menokok kepada RM8.89 bilion berbanding RM8.82 bilion sebelum itu.

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Datuk Mohd Rashid Mohamad berkata separuh pertama 2025 menyaksikan ketidaktentuan global dan cabaran dalam industri.

“Namun begitu, RHB kekal berdaya tahan dalam mengekalkan prestasi dengan pertumbuhan mampan, kerugian kredit dijangka lebih rendah serta pengurusan kos yang berdisiplin.

“Pertumbuhan pinjaman domestik kami bergerak seiring dengan industri, disokong oleh kualiti aset yang kukuh. Prestasi ini menyerlahkan kekuatan kami dan meletakkan bank pada kedudukan baik untuk merebut peluang pertumbuhan baharu pada bulan-bulan mendatang,” katanya.

Kumpulan itu menjelaskan peningkatan prestasi tahun ke tahun didorong oleh penurunan peruntukan kerugian kredit dan pendapatan bersih pembiayaan yang lebih tinggi, namun diimbangi oleh pendapatan bukan berasaskan dana yang lebih rendah, perbelanjaan operasi lebih tinggi, cukai lebih tinggi dan bahagian kerugian lebih tinggi dalam syarikat bersekutu.

Mengenai prospek, RHB berkata pihaknya kekal berhati-hati namun optimis untuk baki tahun ini.

Ia berkata kumpulan kekal fokus melaksanakan pelan strategik tiga tahun PROGRESS27, yang menyasarkan untuk muncul sebagai bank terbaik dalam perkhidmatan, mencapai keuntungan tinggi serta diiktiraf sebagai bank yang bertanggungjawab dan berteraskan tujuan.

-- BERNAMA