BERITA TERKINI   MAHB bakal perluas terminal kargo udara Pulau Pinang - Loke | Stesen KTM Butterworth akan dinaik taraf dengan peruntukan RM30 juta - Loke | Kerajaan Persekutuan belanja RM17 bilion setiap tahun untuk Sabah, berbanding kutipan hasil negeri RM10 bilion - PM Anwar | Selesaikan tuntutan MA63 menerusi perbincangan bukan cara 'berperang' - PM Anwar | 

Malaysia Sasar Tempat Ke-12 Teratas Daya Saing Global Menjelang 2030 – Liew Chin Tong

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Kerajaan menyasarkan Malaysia tersenarai dalam kelompok 12 negara paling berdaya saing dunia menjelang 2030, selaras dengan  sasaran di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong.

Beliau berkata kedudukan tersebut berpandukan Rangking Daya Saing Dunia (WCR) yang diterbitkan Institut Pembangunan Pengurusan (IMD), berdasarkan 330 indikator merangkumi empat bidang utama -- prestasi ekonomi, kecekapan kerajaan, kecekapan perniagaan dan infrastruktur.

“Malaysia kini berada di tangga ke-23 dalam WCR 2025, meningkat 11 anak tangga daripada kedudukan ke-34 pada tahun sebelumnya, sekali gus menunjukkan kemajuan ketara dalam daya saing negara,” katanya di persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Edward Linggu Bukut mengenai pelan jangka pendek dan panjang kerajaan bagi mengukuh daya saing ekonomi melalui pelaburan berimpak tinggi, automasi industri dan ekonomi digital, sambil menjamin pembangunan saksama di Sabah dan Sarawak selaras dengan Ekonomi MADANI dan RMK13.

Liew berkata sasaran RMK13 ini akan direalisasikan melalui pendekatan seluruh kerajaan, termasuk penggubalan Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025, dasar ekonomi dan monetari pragmatik, serta peningkatan produktiviti tahunan sebanyak 3.6 peratus. 

“Lima indikator utama telah dikenal pasti sebagai fokus penambahbaikan berterusan kerajaan termasuklah Indeks Pembangunan Manusia (HDI), pencapaian pendidikan tinggi, peratus perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan, eksport perkhidmatan ICT dan pembentukan modal tetap kasar,” katanya.

-- BERNAMA