BERITA TERKINI   Seramai 413,372 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM 2025 di 3,350 pusat peperiksaan di seluruh negara - KPM | Peperiksaan bertulis SPM 2025 diadakan dari 25 Nov hingga 23 Dis 2025 - KPM | Kementerian Komunikasi dan MCMC teliti ekosistem keseluruhan permainan dalam talian, bukan hanya satu platform - Fahmi | Wartawan berhak tanya soalan selaras prinsip keterbukaan dan saling menghormati antara media dengan kerajaan - Fahmi | 

Ringgit Ditutup Rendah Berbanding Dolar AS

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Ringgit terus mencatatkan penurunan untuk ditutup rendah berbanding dolar AS pada Rabu menjelang data inflasi utama Amerika Syarikat (AS) dikeluarkan.

Data inflasi Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) AS akan diumumkan pada Jumaat ini, yang berkemungkinan lebih tinggi daripada jangkaan, kata penganalisis.

Pada 6 petang, mata wang tempatan merosot kepada 4.2335/2365 berbanding dolar AS daripada 4.2160/2210 semasa ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata jika data inflasi AS pada Jumaat ini lebih tinggi daripada jangkaan, ia mungkin menjejaskan kemungkinan penurunan kadar faedah pada September.

“Oleh itu, ini boleh menyumbang kepada pengukuhan dolar AS,” katanya kepada Bernama. 

Selain itu, katanya inflasi boleh meningkat di AS berikutan ia telah menaikkan tarif ke atas banyak import dari India kepada 50 peratus.

Mohd Afzanizam berkata Indeks Dolar AS (DXY) naik sebanyak 0.38 peratus kepada 98.603 mata walaupun terdapat kebimbangan mengenai kebebasan Rizab Persekutuan AS.

“Dolar AS dilihat semakin mendapat perhatian apabila sentimen pasaran menjadi pesimis dan peniaga mencari perlindungan dalam mata wang tersebut,” katanya.

Pada penutup dagangan, ringgit ditutup kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding euro kepada 4.9058/9093 daripada 4.9087/9145 semasa ditutup pada Selasa, bagaimanapun merosot berbanding yen Jepun kepada 2.8591/8611 daripada 2.8571/8607 dan rendah berbanding pound kepada 5.6890/6930 daripada 5.6827/6895.

Ia turut diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang ASEAN lain.

Mata wang tempatan rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.2843/2869 daripada 3.2786/2828 semalam, merosot berbanding baht Thailand kepada 13.0330/0474 daripada 12.9707/9917 dan berkurangan berbanding peso Filipina kepada 7.40/7.41 daripada 7.38/7.40 sebelum ini.

Ringgit mendatar berbanding rupiah Indonesia kepada 258.6/258.9 daripada 258.6/259.0 sebelum ini.

-- BERNAMA