BERITA TERKINI   23 rakyat Malaysia ditahan di Israel berjaya dibawa pulang hasil usaha diplomasi tertinggi kerajaan - Mohamad | Misi GSF bukan memasuki Israel secara haram, sebaliknya menuju ke Gaza unttuk salur bantuan kemanusiaan - Mohamad | 

Niaga Hadapan MSM Ditutup Lebih Rendah

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih rendah hari ini, dipengaruhi oleh penurunan minyak kacang soya di Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT), kata seorang peniaga. 

Pedagang minyak sawit David Ng berkata peningkatan harga baru-baru ini dalam pasaran MSM telah menyebabkan minyak sawit kurang berdaya saing berbanding minyak sayuran lain, yang mungkin menjejaskan permintaan dalam beberapa minggu akan datang.

“Kami melihat paras sokongan pada RM4,450 dan paras rintangan pada RM4,630 setan,” katanya kepada Bernama.

Pada penutup dagangan, kontrak semerta bulan September 2025 susut RM40 kepada RM4,413 setan, kontrak Oktober 2025 merosot RM36 kepada RM4,462, dan kontrak November 2025 berkurang RM37 kepada  RM4,492.

Kontrak Disember 2025 turun RM34 kepada RM4,512 setan, manakala Januari 2026 dan Februari 2026 menyusut RM31 masing-masing kepada RM4,516 setan dan RM4,497 setan. 

Jumlah dagangan merosot kepada 43,615 lot daripada 67,090 lot pada Khamis, manakala kepentingan terbuka kekal tidak berubah pada 249,263 kontrak.

Harga MSM fizikal bagi September Selatan turun RM30 kepada RM4,440 setan. 

-- BERNAMA