BERITA TERKINI   Jualan sektor pembuatan cecah RM1.97 trilion, naik 4.2 peratus pada 2025 - Jabatan Perangkaan | Projek ladang ternakan babi tidak harus diteruskan di kawasan boleh timbulkan kegelisahan penduduk setempat, ambil kira faktor kesihatan - PM Anwar | Kerajaan setuju luaskan kategori barangan SARA merangkumi makanan sejuk beku -- PM Anwar | PM Anwar nasihat jangan ganggu, hina mana-mana agama | Kerajaan tidak izinkan pembinaan rumah ibadat yang tidak ikut peraturan - PM Anwar | 

Profesional Harta Tanah Tunjang Penting Ekonomi Malaysia - Lim Hui Ying

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Profesion penilaian, perejenan dan pengurusan harta tanah merupakan sektor perkhidmatan profesional yang penting serta menjadi antara tunjang utama dalam pertumbuhan ekonomi negara, kata Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying.

Beliau berkata profesional dalam bidang itu berupaya membantu meningkatkan keyakinan pengguna dalam membuat keputusan berkaitan harta tanah.

“Para penilai dan ejen harta tanah berdaftar memainkan peranan penting dalam membimbing dan mendidik pengguna, khususnya pembeli untuk mendapatkan maklumat tepat mengenai pasaran harta tanah.

"Ini membolehkan pembeli membuat keputusan yang bijak dalam memiliki kediaman atau harta tanah impian mereka,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Konvokesyen dan Makan Malam Tahunan Lembaga Penilai, Pentaksir, Ejen Harta Tanah dan Pengurus Harta (LPEPH) ke-27 di sini malam ini.

Lim turut berkata kerajaan yakin LPEPH akan terus melahirkan ahli-ahli yang berkemahiran tinggi dan kompeten, sekali gus menyumbang kepada pembangunan negara.

“Sangat jelas bahawa LPEPH memainkan peranan penting dalam mempersiapkan ahlinya untuk menjadi profesional yang mampu menyumbang kepada ekonomi. 

"Kerajaan akan terus menyokong setiap perkhidmatan dan program yang dilaksanakan oleh LPEPH,” katanya.

Majlis itu turut meraikan seramai 29 penilai berdaftar, 46 ejen harta tanah berdaftar, 79 graduan diploma perejenan harta tanah dan empat penerima anugerah pelajar cemerlang.

--BERNAMA